Ketua jurulatih Sarawak United, E. Elavarasan melahirkan kekecewaan beliau berkenaan kegagalan pasukannya memungut sebarang mata apabila melayan kunjungan PDRM FC hari Jumaat lalu.

Elavarasan yang bertemu media selepas perlawanan berkata bahawa pasukan seperti Sarawak United yang mahu menjuarai liga tidak boleh kehilangan mata kerana ianya akan membantu pasukan menjadi lebih selesa di dalam kedudukan liga kemudian hari.

“Perlawanan- perlawanan macam ini kita tak boleh rugi mata. Mata – mata seperti ini penting untuk kita sebab mata seperti ini akan membawa pasukan ke kedudukan yang selesa.” jelas Elavarasan selepas perlawanan.

“Tetapi kalau mata seperti ini kita rugi, nanti kita akan ada masalah bila perlukan mata tiba-tiba.” jelasnya lagi.

Elavarasan juga menyatakan bahawa kegagalan memungut mata akan memberi beban kepada pasukannya apabila Liga Premier kelak semakin menghampiri pengujungnya.

“Semua pasukan mahukan tiga mata dan ianya secara automatik akan memberi beban kepada kita apabila musim semakin rapat, apabila perlawanan makin kurang.

“Jadi penting untuk kita mengumpul mata sekiranya ingin menjuarai ataupun kalau kita hendak bermain di liga super pada musim hadapan.” jelas juruatih berpengalam itu lagi.

Sarawak United tewas buat pertama kali dalam Liga Premier pada Jumaat lepas dalam perlawanan menentang PDRM.