Setelah diturunkan dalam dua daripada tiga perlawanan terakhir pasukan, penjaga gol berpengalaman, Farizal Harun berharap akan terus diberi kepercayaan dalam kesebelasan utama Kelantan FC.

Selepas pulih daripada kecederaan di bahagian paha dan berjaya mendapatkan kecergasan, penjaga gol yang berusia 35 tahun itu sudah berasakan dirinya sudah berada di tahap terbaik bagi mengemudi gawang dalam perlawanan-perlawanan yang akan datang.

Bagaimanapun, dia mengakui persaingan merebut tempat sebagai penjaga gol nombor satu cukup sengit memandangkan Kelantan mempunyai tiga lagi pemain lain seperti Faridzuen Kamaruddin, Nik Amin Ahmad dan Asfa Abidin.

“ Memang saya tidak banyak minit bermain ketika di Selangor serta hanya banyak melakukan latihan sahaja dan bila datang ke sini, saya kena akui kena cari rentak balik.

“ Baharu sahaja seminggu berlatih di sini, saya mengalami kecederaan yang agak lama juga dengan terlepas beberapa perlawanan sebelum saya betul-betul pulih semasa Kelantan berdepan Negeri Sembilan.

“ Buat masa ini, persaingan bagi merebut tempat masih terbuka kerana belum ada penjaga gol nombor satu atau dua kerana pasukan masih mengamalkan sistem penggiliran.

“ Jadi, saya harap akan terus diberi peluang terutama aksi bertemu Perak II pada minggu depan dan berjanji akan berikan 100 peratus serta membantu berdasarkan pengalaman yang saya ada, ” katanya.

Farizal, yang berasal dari Negeri Sembilan, pernah melalui zaman kegemilangan semasa bersama Angkatan Tentera Malaysia (ATM) yang berjaya layak ke perlawanan akhir Piala Malaysia 2012 selain Felda United pada tahun berikutnya, pada pentas final Piala FA.

Dia pernah menjadi sebahagian skuad Negeri Sembilan semasa memenangi Piala Malaysia 2009 dan 2011 selain Piala FA pada musim 2010.

Dalam pada itu, Farizal berasakan pasukan Kelantan yang dibarisi majoriti pemain muda semakin mendapat rentak biarpun pada awalnya sedikit perlahan di awal musim.

Malah, dia percaya mereka mampu memperbaiki kedudukan di carta Liga Premier dari kedudukan tempat ketujuh buat masa ini selepas memungut 14 mata hasil daripada empat kemenangan dan dua seri.

“ Jujurnya semasa saya mula-mula datang ke sini, saya tidak berapa yakin dengan pemain-pemain muda kerana semuanya saya tidak kenal kecuali Nurshamil (Abdul Ghani), kerana jarak umur mereka dengan saya agak jauh.

“ Masa awal itu memang bergelut kerana pemain import pun ada cara tersendiri tetapi selepas beberapa perlawanan, keserasian sudah nampak antara semua pemain.

“ Pemain-pemain muda Kelantan mula pamer peningkatan cuma mungkin aspek pengalaman memisahkan sedikit mereka ekoran membuat kesilapan yang berulang-ulang tetapi bagi saya itu adalah proses pembelajaran buat mereka, ” katanya.

Kelantan akan berkunjung ke Stadium Perak, Ipoh bagi bertemu Perak II pada 29 Jun pada perlawanan ketujuh Liga Premier yang sebelum ini dijadualkan pada 7 Mei namun terpaksa ditunda ekoran terdapat kes dua pemain mendapat positif COVID-19.