Peminat seringkali memperkatakan kejayaan sesebuah pasukan berkisarkan kepada sejauh mana ketajaman seseorang penyerang dan kekuatan bahagian pertahanan termasuk kecekapan penjaga gol.

Namun, peranan pemain yang berfungsi selaku watak nombor 6 di dalam pasukan atau lebih tepat pemain tengah yang melindungi barisan pertahanan seringkali kurang diberi perhatian.

Keberkesanan terhadap kestabilan barisan pertahanan seringkali memerlukan seorang pemain nombor enam yang boleh melakukan ‘kerja-kerja ‘kotor’ seperti menyekat pergerakan serang balas lawan malah turut memulakan pergerakan dari bawah sebelum melakukan serangan.

Pemain tengah Sarawak United, Zahril Azri Zabri, yang merupakan salah seorang pemain yang beraksi di posisi itu mengakui tidak ramai memahami kepentingan mereka yang sering kali mampu mengurangkan beban perlu dipikul benteng pasukan.

“ Sebelum bola hendak sampai ke bahagian pertahanan, lawan perlu melalui pemain nombor enam dahulu dan kita yang perlu mengganggu pergerakan dengan cuba lakukan bentesan atau merampas bola ke atas diri mereka.

“ Hanya orang tahu mengenai bola sepak sahaja tahu kepentingan pemain nombor enam di atas padang dan saya bersetuju peminat jarang berikan pujian kepada pemain di posisi ini jika pasukan mencapai kejayaan.

“ Dalam pasukan kami sudah mempunyai ramai pemain yang hebat di barisan serangan seperti Lee Chang Hoon dan Uche Agba namun ia perlu diseimbangkan dengan kekuatan di bahagian bawah.

“ Saya telah buktikan selepas membantu barisan pertahanan dalam 10 perlawanan lalu dengan banyak kali kami berjaya mencapai ‘clean sheet’ yang turut membantu kepada faktor kemenangan pasukan, ” katanya.

Zahril yang merupakan bekas pemain Bawah 19 tahun negara ketika kejohanan AFC 2018 di Indonesia pernah beraksi dengan Felda United pada 2019 selain Selangor 2, musim lalu.

Dia mengharapkan penghijrahannya ke Sarawak United selepas dilepaskan Selangor akan membawa sinar baharu dalam kariernya apabila sukar mendapat peluang bermain.

“ Dekat Selangor 2, ramai yang tahu saya agak kurang minit permainan kerana saingan sengit di bahagian tengah dan hanya dapat bermain dalam empat perlawanan sahaja.

“ Jadi harap penghijrahan ke Sarawak ini akan memberikan lonjakan dalam karier dan setakat ini saya gembira kerana diturunkan dalam sembilan perlawanan kecuali pada satu perlawanan ekoran digantung perlawanan, ” katanya.

Selain itu, Zahril yang baharu berusia 22 tahun turut mengakui satu cabaran unik bermain di Sarawak kerana dikelilingi ramai pemain berpengalaman yang berusia 30 tahun ke atas.

“Saya gembira di sini kerana ramai pemain senior dalam pasukan ini seperti Taylor Regan, Christie Jayaseelan dan Mat Yo (Norshahrul Idlan Talaha) yang boleh memberikan bimbingan kepada pemain muda.

“ Pengalaman mereka di beraksi di pentas tertinggi telah membantu pasukan dan saya tidak kekok beraksi di samping mereka kerana peluang sebegini sukar didapati di mana-mana pasukan, ” katanya.

Sarawak United kini memimpin carta Liga Premier dengan pungutan 23 mata, hanya satu mata dipisahkan di hadapan Negeri Sembilan FC yang memberikan cabaran hebat di kedudukan kedua.