Kekalahan terburuk Sarawak FA di peringkat antarabangsa

Walaupun muncul sebagai sebuah pasukan yang digeruni pada era 90-an, pasukan Sarawak FA telah juga mengecapi detik malang pada detik yang sama.

Sesungguhnya, memenangi Liga Premier pada tahun 1998 memberikan Sarawak FA tiket untuk mewakili Malaysia untuk bermain di peringkat antarabangsa, yakni melalui Piala Asia pada tahun 1999.  – Liga itu kini dikenali sebagai Liga Juara-Juara AFC.

Namun, Sarawak FA bernasib malang apabila terpaksa berdepan lawan sukar, yakni pasukan Jepun, Kashima Antlers.

Kashima Antlers sesungguhnya bukan calang – calang pasukan.  Mereka telah memenangi Liga Jepun lapan kali sehingga hari ini, Emperor’s Cup sebanyak lima kali, dan J-League Cup dan Japanese Super Cup sebanyak enam kali masing – masing sehingga hari ini.

Di peringkat antarabangsa, KashimaAntlers merupakan antara pasukan yang sering berjaya memasuki pertandingan di peringkat tertinggi dan pernah menjadi naib juara FIFA Club World Cup pada tahun 2016.

Dengan recod hebat sejak dahulu, pasukan Sarawak FA sememangnya mempunyai misi sukar apabila terpaksa bertemu pasukan Kashima Antlers pada tahun 1999.

Dalam perlawanan pusingan pertama di Stadium Sarawak pada tahun 1999, pasukan bimbingan Jalil Ramli itu terpaksa menurunkan satu pasukan yang bukan sahaja tidak cukup bersedia, malahan tanpa kelibat pemain import.

Ini adalah ekoran keputusan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) mengharamkan penggunaan pemain import bagi Liga Malaysia pada musim tersebut, dan pembatalan semua perlawanan persediaan pasukan Sarawak FA di Singapura.

Sarawak FA walaubagaimanapun tetap turun mengalukan kedatangan pasukan juara 1998 Liga Jepun itu dan berjaya menunjukkan aksi memberangsangkan dengan hanya tewas 4-2.

Dua gol Sarawak dijaringkan oleh Nazri Yunus dan Safri Amit.

Keputusan walaubagaimanapun amat berbeza pada perlawanan timbal balik di Stadium J-Village.

Biarpun membuat persediaan yang lebih baik bagi perlawanan tersebut, pasukan Sarawak FA gagal menyiapkan diri untuk cuaca sejuk di Jepun dan ini mengakibatkan pemain terpaksa bermain dengan baju lengan pendek dan beberapa lapis baju untuk mengekang kesejukan suhu 3 darjah celsius.

Jalil Ramli dalam pada itu telah dipetik sebagai berkata bahawa pasukan Sarawak FA telah memberikan segalanya di dalam perlawana tersebut namun cuaca sejuk membuatkan pemainnya sukar untuk beraksi seperti yang sepatutnya.

Ini menyaksikan Kashima Antlers mudah merobek gawang Sarawak FA dengan 10 gol sekaligus menjadi kekalahan terburuk Sarawak FA di dalam sejarah bola sepak itu di peringkat antarabangsa.

error: We appreciate it if you\'d share our link instead of copying our text. Thank you.
Scroll to Top