Penyerang import dari Brazil, Bryan Jones Anicezio, yang menjadi antara watak penting kebangkitan Kuching FA dalam saingan Liga Premier musim lalu, mengakui semakin tidak sabar untuk bekerjasama dengan jurulatih berpengalaman, Irfan Bakti.

Walaupun Bryan tidak mengenali Irfan sebelum ini tetapi berdasarkan maklum balas diterimanya daripada rakan sepasukan, penyerang berusia 30 tahun itu berasakan kehadiran Irfan adalah tepat pada masanya bagi membawa Kuching FA, yang akan dikenali dengan nama Kuching City FC pada musim 2021, ke tahap lebih tinggi berbanding sebelum ini.

Selain itu, dia berasakan 2021 akan menjadi musim yang akan menjanjikan lebih banyak kecemerlangan kepada Kuching FA selepas mereka menamatkan saingan di tempat keempat pada tahun pertama mereka di Liga Premier.

“Pada mulanya, saya tidak banyak mengetahui mengenai Irfan tetapi saya telah melakukan kaji selidik serta bertanyakan kepada mereka yang mengetahui latar belakang beliau.

“Banyak perkara baik yang saya dengar mengenai Irfan malah beliau disifatkan antara pengendali berpengalaman di Liga Malaysia, ciri-ciri yang beliau ada buatkan saya semakin tidak sabar untuk bekerja dengannya.

“Kami telah lalui satu musim yang baik pada musim lalu, namun itu semua sudah berlalu dan matlamat yang lebih tinggi perlu diletakkan untuk musim 2022, iaitu layak ke Liga Super pada 2022, saya rasa kami berpeluang cerah untuk lakukannya pada musim ini,” katanya.

Irfan dilantik selaku ketua jurulatih Kuching FA pada 1 Disember lalu bagi menggantikan Akira Higashiyama yang akan mengendalikan Kelantan United FC untuk musim 2021.

Bryan yang mendapat kecederaan di awal musim, hanya berpeluang turun beraksi pada empat perlawanan terakhir Liga Premier namun dia berjaya menjaringkan empat gol selain membantu Kuching FA melakar empat kemenangan berturut-turut.

Justeru, dia melihat prospek yang lebih baik pada musim baharu ini dengan mahu memburu penjaring terbanyak Liga Premier selain membantu Kuching FA muncul antara pencabar digeruni di semua peringkat pertandingan.

“Saya lalui satu musim yang baik dengan Kuching apabila menjaringkan gol dalam empat perlawanan yang saya lalui dan membantu pasukan berada di tahap lebih baik dalam Liga Malaysia.

“Pelawaan untuk terus kekal bersama Kuching adalah satu peluang yang saya tidak akan lepaskan kerana sememangnya saya sudah seperti ada rasa ikatan dengan pasukan serta semua mereka yang bekerja di sini.

“Misi saya adalah untuk meletakkan Kuching dalam kalangan pasukan elit dalam kalangan pasukan di Liga Malaysia, layak sekali lagi ke Piala Malaysia dan selepas itu, baru saya fikirkan mengenai misi peribadi iaitu menjadi penjaring terbanyak liga.

“Sudah tentu saya kejar pencapaian itu namun apa yang paling mustahak adalah pasukan terlebih dahulu serta menang dalam seberapa banyak perlawanan,” katanya.