Selepas dua pemain Sarawak FA dibebaskan dari tuduhan mengatur perlawanan, kini hadir pula persoalan samada Persatuan Bolasepak Sarawak (FAS) bakal dikenakan tindakan.
Jika kata-kata CEO FMLLP, Kevin Ramalinggam dijadikan sandaran, FAS hampir pasti akan berdepan tindakan dari pihak FMLLP kerana mengeluarkan kenyataan tanpa bukti kukuh, khususnya berhubung kes mengatur perlawanan.
Ini adalah berdasarkan kenyataan Kevin yang menyatakan bahawa dakwaan mengatur perlawanan amat serius, dan boleh menjatuhkan martabat bolasepak Malaysia.
Jika FMLLP tidak mengambil tindakan, hadir juga spekulasi dan persoalan samada dua pemain, Mazwandy Zakeria dan Hafiz Abu Bakar, yang dihadapkan ke Suruhanjaya Pencegahan Rasuah (SPRM), akan mengambil tindakan undang-undang memandangkan nama mereka telah tercemar ekoran dakwaan mengatur perlawanan.
Kedua-dua pemain dilaporkan akan membuat sidang media esok, dan pihak SarawakCrocs telah dijemput untuk hadir sama dengan khabar tidak rasmi menyatakan bahawa beberapa perkara penting bakal diumumkan oleh kedua-dua pihak, termasuk juga oleh peguam pemain tersebut.
Pihak FAS sehingga kini belum mengeluarkan sebarang kenyataan berhubung pelepasan Mazwandy dan Hafiz dari tuduhan mengatur perlawanan, namun kami hampir pasti keadaan di ibu pejabat persatuan tersebut kini ‘hangat’.
Tambahan 6:15PM: Pihak FAS telah membuat kenyataan rasmi berkenaan isu ini, dan anda boleh membacanya di sini.