Wakil Persatuan Bolasepak Sarawak, bersama beberapa lagi wakil daripada persatuan bolasepak negeri lain, telah berjumpa dengan Sultan Johor, DYMM Sultan Ibrahim Ibni Almarhum Sultan Iskandar di Kelab Polo Istana Pasir Pelangi.
Adalah difahamkan bahawa antara wakil FAS pada pertemuan tersebut adalah Setiausaha FAS Razali Dolhan, yang turut merupakan salah satu daripada Naib Presiden FAS.
Menurut laman Facebook rasmi JDT, delegasi ahli-ahli gabungan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) ini hadir untuk memohon Sultan Johor memperkenan cadangan melantik DYAM Brigadier Jeneral Tunku Ismail Ibni Sultan Ibrahim, Tunku Mahkota Johor (TMJ) bagi menerajui FAM pada kongres badan induk bola sepak negara pada bulan Mac ini.
Sumber sama turut menyebut bahawa TMJ telah menyerahkan keputusan permintaan ahli gabungan FAM itu kepada Sultan Johor, dan Sultan Johor telah bertitah agar TMJ menerima cadangan perlantikan tersebut dengan permintaan baginda ‘mengubah bolasepak negara’.
Perkembangan terbaru ini bakal menyaksikan kerusi Presiden FAM hampir pasti menjadi milik TMJ kerana calon-calon lain yang disebutkan sebelum ini dilihat tidak mendapat sokongan sebanyak yang dimiliki TMJ.