Dengan naiknya nama Gabriel Nistelrooy, pihak kami telah berjaya mendapatkan sedikit input dari mantan ketua jurulatih beliau sewaktu beliau masih bersekolah, yakni Cikgu Hakimi Man.

Hakimi Man yang sudah tidak asing lagi dalam arena bola sepak Sarawak menjelaskan kepada kami bahawa kualiti merupakan antara aset utama yang dimiliki oleh Gabriel ketika beliau melatih anak muda berbangsa Iban tersebut.

Menurut Hakimi lagi Gabriel mempunyai hati yang besar dan telah berani mencabar diri untuk menjadi lebih baik.

“Dalam bolasepak untuk berjaya kita mesti mempunyai hati yg besar dan keberanian untuk mencabar diri agar menjadi lebih baik. Ini yg ada pada Gabriel. Apabila anda mempunyai hati yg besar tahap keyakinan anda akan terserlah dan pastinya anda akan mempunyai keberanian utk mencabar diri.” kata Hakimi kepada SarawakCrocs.

“Selepas kematian ayah beliau, Gabriel telah membuat satu keputusan besar menyertai JDT pada usia 18 tahun.

“Ini satu tindakan yg amat berani kerana pada usia yang masih muda, Gabriel telah berani mengambil risiko berjauhan dari keluarga dan berbeda budaya masyarakat. Gabriel telah mencabar diri untuk menghadapi apa jua perubahan, dan ini adalah satu sikap yang sudah pasti akan menjadikan dia cepat matang dan memiliki kekuatan mental yang ampuh.” jelas Hakimi lagi.

Gabriel berlatih bersama KV Miri
Gabriel dan pemain KV Miri berlatih di bawah pengawasan Hakimi. Sumber gambar: Hakimi Man

Dalam perkembangan sama, Hakimi juga menerangkan kepada kami bahawa Gabriel telah memilih laluan yang betul dengan menyertai JDT.

Jurulatih berpengalaman itu berkata bahawa bahawa Gabriel bukan sahaja membuat pilihan yang tepat dengan menyertai JDT, tetapi juga memiliki tuah kerana beliau dilatih oleh seorang jurulatih yang berkaliber dan berani di dalam Rafael Gil Sanchez.

Menurut Hakimi, komposisi pemain JDT 2 jelas menunjukkan bahawa Rafael senang mengetengahkan pemain muda dan ini ditunjukkan apabila lima pemain di bawah umur 21 tahun kini diberi kepercayaan bermain dengan JDT 2.

“Anda perlu memiliki sedikit tuah dan memilih haluan yang betul untuk berjaya sebagai pemain bola sepak.

“Kini JDT 2 dilatih oleh seorang jurulatih yang berkaliber dari Malaga, Sepanyol, yaitu Rafael Gil Sanchez. Beliau merupakan seorang jurulatih yang berani mengetengahkan pemain muda.”

“Lihat sahaja barisan pemain JDT 2 sekarang. Mereka telah mengetengahkan lima pemain di bawah 21 tahun termasuk Gabriel.

Gabriel menyambut gol yang dijaringkan untuk JDT 2. Sumber Gambar: JDT

“Apabila ada seorang jurulatih berani dan mempercayai bakat pemain muda, peluang seperti itu harus diambil oleh pemain muda untuk bekerja keras dan bersaing dengan pemain senior.

“Ini adalah kerana apabila sesebuah pasukan mempunyai mentaliti untuk memajukan bola sepak, mempunyai perancangan jangka pendek dan jangka panjang yang jelas, serta ada seorang jurulatih yang begitu mempercayai pemain muda, potensi untuk maju ke depan sebagai pemain bola sepak akan terbuka dengan luas untuk di sambar.

“Inilah yang Gabriel kini ada, dan saya lihat sedang dia lakukan. JDT kini di dalam elemen terbaik untuk menyerlahkan lagi potensi beliau sebagai pemain bola sepak profesional, dan dia nampaknya fokus untuk berjaya.” kata Hakimi lagi.