Pasukan Sarawak United meneruskan langkah longlai di dalam perlawanan pra-musim mereka apabila tewas 4-1 kepada pasukan simpanan Perak FA.
Sarawak United yang menurunkan beberapa pemain import untuk diuji, turut sama menurunkan Amri Yahyah di dalam kesebelasan utama.
Biarpun demikian, pasukan Sarawak United gagal mengekang pasukan tuan rumah yang menjaringkan gol seawal minit keempat melalui Yusoff Abdullah.
Bruno kemudian melebarkan jurang gol di antara kedua-dua pasukan apabila membuat ‘turning’ cantik di dalam kawasan penalti Sarawak United untuk menjaringkan gol kedua perlawanan.
Sarawak United yang enggan mengalah, merancakkan serangan mereka ke atas kubu Perak II, dan penyerang import Antonio Timothy berjaya merapatkan jurang gol melalui gol pada minit ke-26 perlawanan.
Apabila babak kedua bersambung, kedua-dua pasukan membuat beberapa pertukaran bagi menguji pemain masing-masing.
Walaubagaimanapun, Perak II nyata lebih hebat apabila menjaringkan gol ketiga dan keempat perlawanan pada minit ke 58 dan 86 melalui Muhamad Nuriqmal dan Waiber masing-masing.
Dengan perlawanan berbaki empat minit, Perak II terus ghairah menyerang dengan wisel penuh akhirnya dibunyikan untuk menandakan pra-musim Sarawak United berakhir dengan kekalahan ketiga malam ini.
Sarawak United sebelum ini telah tewas kepada Kuala Lumpur 2-1, sebelum dirobek oleh PDRM 5-0 dalam perlawanan pra-musim kemudiannya.