Penyerang Kelantan, Ahmad Fakri Saarani dikatakan bakal menyarung jersi skuad Bujang Senang pada musim hadapan.
Mengikut sumber SarawakCrocs.com, Ahmad Fakri hampir pasti berhijrah ke Kuching jika segala perancangan berjalan lancar.
Menurut sumber kami, sungguhpun berita ini dinafikan apabila ianya dihebahkan baru-baru ini, ianya telah mendapat nafas baru apabila pihak Kelantan FA tidak menyenaraikan Ahmad Fakri sebagai salah satu pemain yang dikekalkan untuk musim 2016.
Tambah sumber tersebut lagi, penafian sebelum ini adalah berkenaan kedatangan Fakri ke Kuching, dan bukannya perpindahan Fakri ke Sarawak.
Beliau juga menambah pihak Kelantan FA dan Sarawak FA pada ketika itu juga enggan berbicara berkenaan perpindahan pemain secara terbuka kerana kedua-dua pasukan masih lagi memerlukan semua pemain mereka menumpukan perhatian ke Piala Malaysia yang sedang berlangsung.
Fakri bukanlah nama asing di dalam bolasepak Malaysia. Beliau yang seringkali mendapat panggilan mewakili Malaysia paling cemerlang ketika bersama skuad Kelantan di mana beliau menjaringkan 55 gol daripada 49 perlawanan.
Halatuju Fakri buat masa ini belum diketahui selepas nama beliau tidak termasuk di dalam senarai 17 pemain yang kekal bersama The Red Warriors, namun jika sumber kami ini betul, adalah tidak mustahil beliau bakal menyarung jersi Sarawak musim hadapan.