Dua pegawai dan tiga pemain Sarawak United telah dikenakan tindakan tatatertib oleh Jawatankuasa Tatatertib Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) dalam mesyuarat kali keempat bagi penggal 2021-2025 yang diadakan secara dalam talian pada Jumaat, 17 September 2021.
Keputusan jawatankuasa itu dibuat kerana mereka dapati terlibat secara langsung dalam insiden selepas perlawanan Sarawak United menentang negeri Sembilan di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur, Cheras pada 10 September 2021.
FAM dalam keputusannya telah memberi amaran keras kepada semua pemain dan pegawai, namun hukuman bagi setiap pemain dan pegawai adalah berbeza.
Mengetuai senarai pegawai dan pemain Sarawak United yang dikenakan tindakan tatatertib adalah penjaga gol utama Sarawak United, Mohd Sharbinee Allawee Ramli, yang telah didapati bersalah atas tiga pertuduhan.
Beliau didapati bersalah sengaja menerjah dengan kuat di bahagian dada pemain pasukan lawan, Mohamad Zamri Pin Ramli serta melanggar Artikel 59 Kod Tatatertib FAM iaitu berkelakuan tidak bersemangat sukan apabila menolak dengan agresif di bahagian dada Pengadil Perlawanan setelah dilayangkan kad merah, dan menumbuk papan penggantian yang sedang diangkat oleh Pegawai Keempat untuk membuat penggantian pemain semasa beliau keluar padang setelah diperintah keluar oleh Pengadil Perlawanan pada perlawanan tersebut.
Sharbinee dalam pada itu telah dikenakan tindakan tatatertib gantung lima perlawanan dengan denda RM7,000.
Ini sekaligus bermakna Sharbinee akan terlepas aksi terakhir Sarawak United di Liga Premier pada 21 September ini, serta empat perlawanan peringkat kumpulan Piala Malaysia.
// DAPATKAN SMARTWATCH ORIGINAL PADA HARGA MURAH
Selain Sharbinee, Mohammad Amer Saidin dan Mohd Badrul Affendy Mohd Fadzli juga telah dikenakan tindakan tatatertib oleh FAM kerana melanggar Artikel 59 Kod Tatatertib FAM iaitu berkelakuan tidak bersemangat sukan dan bersikap aggresif terhadap pengadil dan penolong pengadil pada perlawanan sama.
Kedua – dua pemain dikenakan hukuman penggantungan dua perlawanan dan denda sebanyak RM2,000.
Dalam perkembangan sama, dua pegawai Sarawak United, Abang Fomay Abang Sa’adeli dan Rudy Bujang turut dikenakan tindakan disiplin oleh FAM.
Abang Fomay telah didadapti bersalah meluru ke arah Pengadil Perlawanan, Penolong Pengadil 1 dan Penolong Pengadil 2 yang masih berada di padang permainan dengan perbuatan agresif (cuba menyerang dan mencederakan Pengadil Perlawanan) dan beliau menerima hukuman penggantungan dua perlawanan dan denda sebanyak RM10,000.
Rudy Bujang pula dikenakan tindakan gantung enam bulan dan denda RM10,000 kerana berkelakuan tidak bersemangat sukan pada perlawanan sama.
Turut menerima hukuman adalah E. Elavarasan, yang mana telah menerima hukuman penggantungan selama 12 bulan.
Anda boleh membaca dengan lebih terperinci berkenaan hukuman Elavarasan yang ditangguhkan di sini.