Pasukan Sarawak United B (SUB) mungkin akan dipindahkan kembali ke Kuching sekiranya prestasi pasukan tersebut cemerlang.
Demikianlah dakwa akhbar Suara Sarawak di dalam laporan mereka hari ini.
Maksud ‘cemerlang’ tersebut walaubagaimanapun tidak dikembangkan, namun menurut laporan terdahulu, Presiden Persatuan Bolasepak Sarawak (FAS) dipetik sebagai berkata bahawa pertimbangan tersebut akan dibuat jika pasukan tersebut menang lima atau enam perlawanan awal.
Suara Sarawak memetik Posa sebagai berkata “Kita akan tengok dahulu prestasi mereka… jika boleh menang lima atau enam perlawanan awal, maka kita akan pertimbangkan untuk berpindah ke Kuching,”.
SUB yang merupakan pasukan Sarawak FA yang dijenama semula oleh Persatuan Bolasepak Sarawak (FAS) telah di ubah pusat pangkalannya ke Selangor bagi musim 2020.
Mengikut laporan sebelum ini, langkah tersebut adalah untuk menjimatkan kos pasukan tersebut dengan semua pemain yang dipilih dikehendaki menetap di Selangor bagi musim 2020.
SUB yang sebelum ini dilatih oleh Denny Da’ail juga khabarnya akan memiliki ketua jurulatih baharu, dengan Presiden FAS, Posa Majais dipetik oleh Suara Sarawak sebagai berkata bahawa ketua jurulatih tersebut adalah dari Ghana.
Bukan itu sahaja, dua pemain import dari Ghana turut dikatakan akan cuba memikat hati barisan kejurulatihan SUB dalam masa akan datang.