Sarawak United melonjak ke tangga teratas Liga Premier lewat petang tadi selepas mengesahkan kemenangan kedua kelab tersebut dalam Liga Premier 2021.
Pasukan bimbingan E. Elavarasan menunjukkan kekuatan mereka untuk terus mengukuhkan lagi impian mereka mencabar gelaran Liga Premier apabila membelasah pasukan Perak II, yang merupakan pasukan simpanan kepada kelab Liga Super Perak FC.
Sarawak United menunggu hingga minit ke-36 untuk memulakan jaringan dengan pemain terbilang, Norshahrul Idlan Talaha menjaringkan gol pertama untuk pasukan baharunya dengan melengkapkan hantaran cantik dari Tommy Mawat.
Kedudukan pendahuluan Sarawak United kekal sehingga tamat babak pertama.
Bersambung babak kedua, Sarawak United terus melancarkan serangan bertali arus bagi melebarkan lagi jurang gol antara kedua – dua pasukan.
Hasilnya, Sarawak United dihadiahkan sepakan penalti pada minit ke-75, dan penyerang import baharu, Uche Agba mudah memastikan jaringan kedua kelab milik Persatuan Bolasepak Sarawak (FAS) itu.
Dengan perlawanan semakin menuju ke masa penuh, Uche memastikan sebarang semangat perjuangan yang ada pada pemain Perak II terkubur dengan menjaringkan gol ketiga perlawanan pada minit ke-85.
Keputusan 3-0 memihak Sarawak United keka sehingga masa penuh perlawanan dengan Sarawak United bukan sahaja mencatatkan kemenangan dua kali berturut – turut, tetapi juga mengekalkan rekod tanpa bolos mereka.