Home BERITA BOLASEPAK Pengalaman bantu Sarawak United menang

Pengalaman bantu Sarawak United menang

Ketua jurulatih Sarawak United, E. Elavarasan enggan berpesta dahulu biarpun pasukannya kini sudah memenangi dua perlawanan dalam Liga Premier.

Sebaliknya, jurulatih berpengalaman itu menyifatkan kemenangan Sarawak United ke atas Perak II petang tadi sebagai terhasil ekoran kelebihan dari segi pengalaman yang dimiliki pasukan bimbingannya.

Beliau yang diminta mengulas berkenaan perlawanan tersebut selepas Sarawak United menewaskan Perak II 3-0 berkata bahawa pihaknya sebenarnya risau berkenaan perlawanan tersebut kerana ianya dimainkan pada sebelah petang.

“Sebelum ini kita risau jugalah dengan perlawanan petang sebab dah lama kita tak main petang.  Ini perlawanan pertama kita. Kita tahu ini kali kedua Perak bermain (sebelah petang). Kita tahu Perak akan bersedia.” kata Elavarasan.

“Bezanya kita ada pemain yang lebih pengalaman berbanding Perak yang dibarisi pemain muda. Saya lihat kekurangan pemain import dalam pasukan Perak memberi kelebihan kepada kita.” tambahnya lagi.

Elavarasan juga mengakui bahawa pasukannya hampir buntu pada babak pertama untuk memecahkan pertahanan Perak II, dan kemasukan pemain import Perak II, Sergio Fabian Azequiel Aguero menukar taktik dan cara Perak II bermain pada babak kedua.

“Secara keseluruhannya kita cuba memecahkan pertahanan Perak, dan akhirnya berjaya.

“Pada babak kedua, perlawanan lebih terbuka. Perak lebih bertenaga apabila pemain import Arguero masuk dan mereka merupakan pasukan yang berlainan pada babak kedua.

“Ini adalah perlawanan taktikal.” ujar Elavarasan.

Dalam perkembangan sama, Elavarasan juga menyatakan beliau memahami situasi pasukan Perak II dimana ianya terdiri daripada ramain pemain muda.

Beliau dalam pada itu menyifatkan pemain – pemain Perak II mempunyai masa depan yang cerah dalam bola sepak.

“Kita pun faham, pasukan yang mereka sediakan adalah pasukan yang muda dan mereka mempunyai masa depan yang baik.” katanya lagi.

Kemenangan Sarawak United tadi melonjakkan Sarawak United ke tangga teratas Liga Premier.

Previous articleSarawak United terus ampuh, belasah pasukan simpanan Perak
Next articleKuching City kongsi mata dengan pasukan simpanan Terengganu