Pihak Kelab Bolasepak Sarawak United berpuas hati dengan taklimat yang diberikan Malaysia Football League (MFL) melalui Program Taklimat Dalam Talian Ketua-Ketua Pegawai Eksekutif Kelab Liga Malaysia 2021 kelmarin dan hari ini (13 dan 14 Januari).

Pemangku Ketua Pegawai Ekskutif (CEO) Sarawak United FC, Naresh Kumar Bhaskaran, dipetik sebagai mengakui taklimat itu banyak menjawab segala persoalan yang terbelenggu bagi kebanyakan pasukan yang akan bergerak atas kapasiti kelab.

Beliau memberitahu media MFL bahawa taklimat tersebut telah banyak memjawab persoalan yang membelenggu pasukan seperti Sarawak United, khususnya berkaitan pemasaran dan komersial kelab.

“Banyak persoalan seperti pemasaran dan komersial yang menuntut penjelasan daripada MFL, secara umumnya, saya sudah nampak apa perkara yang kami boleh dengan tidak boleh dalam mendapatkan penajaan.” kata Naresh.

Naresh dalam pada itu turut memuji pendekatan dan tindakan MFL yang mahu membawa budaya profesional ke dalam arena bola sepak Malaysia.

“Saya memuji idea serta pendekatan MFL yang mahu membawa budaya profesional yang tinggi dalam bola sepak kita tetapi perkara ini akan memakan masa kerana semua pihak memerlukan masa untuk belajar serta faham bagaimana proses ini mampu dijalankan, ” katanya lagi.

Program Taklimat Dalam Talian Ketua-Ketua Pegawai Eksekutif Kelab Liga Malaysia 2021 telah diadakan oleh MFL buat julung kalinya.

Presiden MFL, Datuk Haji Hamidin Haji Mohd Amin turut bersama dalam sesi penyampaian taklimat itu yang diketuai oleh Ketua Pegawai Eksekutif MFL, Dato’ Ab Ghani Hassan serta barisan Ahli Lembaga Pengarah MFL yang mempengerusikan unit masing-masing.

Turut serta Setiausaha Agung Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Stuart Ramalingam.

Liga Malaysia dijadualkan memulakan sepak mula pada 28 Februari ini kelak.