Sarawak FA harus belajar dan bangkit semula

Setiap kali tamat musim, inilah soalan yang bermain dalam pemikiran pemain, jurulatih, pengurusan, penaja dan peminat. Tidak terkecuali juga buat pasukan Sarawak FA.

Tirai saingan liga ditutup dengan nota kekalahan, semalam.

Musim ini, pasukan berstatus kelab Felcra FC memenangi kedua-dua pusingan ke atas pasukan Sarawak. Saat kertas senarai pasukan diberikan, tiada satu pun nama pemain import terpapar. Perlawanan pula kurang menyengat, berlaku banyak kesilapan tetapi penjaga gol muda Sarawak memberikan persembahan meyakinkan.

Sedang pemain-pemain Sarawak hanya terduduk di tepi padang usai perlawanan, pasukan lawan berpesta meraikan kelayakan mereka ke saingan Liga Super Malaysia musim hadapan. Penyokong tetap menanti dan memberi penghargaan. Ada juga pulang dengan jersi yang dihadiahkan oleh pemain.

Di sebalik kegelapan stadium pasca perlawanan, adakah ini satu pengajaran untuk bangkit semula, atau masih memainkan skrip sama?

Ambil pengajaran dengan melakar skrip baharu. Persatuan Bola Sepak Sarawak (FAS) harus segera melakukan persiapan untuk musim hadapan, terutamanya membabitkan pasukan Sarawak.

Segala sumber, tenaga, idea dan inisiatif boleh dijenterakan asalkan pengurusan FAS terbuka untuk membuat anjakan paradigma. Diharapkan juga agar pengurusan lebih cekap menjalankan tugas, memaksimakan penyampaian, memperkasakan pemasaran dan memperkemaskan pentadbiran. Dan disarankan juga agar lebih ramai golongan muda diberi kepercayaan dalam pengurusan demi kebaikan bola sepak Sarawak.

Bagi barisan pemain dan kejurulatihan pula, semangat dan komitmen mereka amat dihargai. Masanya sudah tiba untuk melihat kembali kesilapan dalam aspek permainan, teknikal dan sebagainya. Kalau boleh, sesuaikan keupayaan pasukan dengan sumber yang ada. Bagi pemain muda, gunakan peluang yang diberikan sepanjang musim ini untuk terus berusaha meningkatkan kebolehan diri, seterusnya membentuk nadi pasukan untuk masa akan datang.

Ingatlah bahawa penyokong kini semakin bijak untuk membuat penilaian ke atas persatuan, pasukan dan pengurusan. Suara mereka amat penting untuk membantu menambah baik persatuan secara amnya. Kuasa penyokong amat besar dan sudah pasti FAS sedia maklum tentang perkembangan ini.

Kita tidak mahu lagi mendengar isu kurang enak mahupun ketidakcekapan dalam menangani perkara. Kita mahu Bujang Senang bangkut semula dengan semangat yang baharu. Kita tidak mahu hanya gah di awal musim tetapi layu di pertengahan. Kita mahu Sarawak bangkit!

Maka, untuk menamatkan baki tahun 2018 ini bersediakah Sarawak untuk memberi saingan mantap dalam penyertaan sulungnya dalam kejuaraan Piala Cabaran, tidak lama lagi? Sama-sama kita nantikan. – SARAWAKCROCS.COM/RSI

error: We appreciate it if you\'d share our link instead of copying our text. Thank you.
Scroll to Top