Pasukan Harimau Malaya akan berdepan Vietnam malam ini dan Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) Datuk Haji Hamidin mahukan pemain pasukan kebangsaan memberikan yang terbaik.

Hamidin dilaporkan oleh laman Facebook FAM sebagai mahu para pemain Harimau Malaya tidak gentar berdepan Vietnam malam ini apabila kedua-dua pasukan bertembung dalam aksi ketiga Kumpulan G bagi saingan Pusingan 2 Kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023.

Tips & maklumat berkenaan FPL dari Malaysia

Perlawanan yang berlangsung di Stadium My Dinh akan menyaksikan Malaysia turun dengan harapan membalas dendam kekalahan pada perlawanan Piala AFF yang lepas.

Malaysia juga dilihat mahu bangkit setelah tewas 1-0 kepada pasukan UAE dalam aksi kumpulan sama.

Hamidin dipetik sebagai berkata “Jika kita mahu pulang dengan kemenangan, para pemain perlu tampil dengan persembahan terbaik mereka pada malam esok.

“Justeru, saya mengingatkan kepada para pemain supaya mereka tidak gentar untuk berdepan Vietnam kali ini biarpun dua kali kita tewas di Hanoi pada 2018 kerana kita juga mempunyai sejarah berjaya menewaskan Vietnam 4-2 di Stadium My Dinh ini pada Separuh Akhir Kedua Piala Suzuki AFF 2014.

“Untuk itu, saya harap mereka akan tampil lebih yakin kali ini dengan skuad yang lebih kuat supaya kita akan kembali melakar sejarah dapat menewaskan Vietnam di gelanggang mereka selepas lima tahun.”

Perlawanan Vietnam menentang Malaysia ini akan disiarkan secara langsung di ASTRO ARENA dan TV2 pada jam 9PM (waktu Malaysia).