Pemain import Sarawak United, Sandro Mendonca kini sedang menuntut gaji beliau daripada Sarawak United.

Menurut laporan Harian Metro, Sandro didakwa hanya menerima 70 peratus daripada gaji beliau pada dua bulan pertama sejak beliau menyertai Sarawak United.

Pemain tengah itu mendakwa Sarawak United kemudiannya telah gagal membayar gajinya pada bulan Mac dan April 2021 berikutnya.

Sarawak United juga didakwa gagal membayar elaun rumah dan kereta pada kedua – dua bulan Mac dan April.

Adalah difahamkan tunggakan gaji dan elaun Sandro dianggarkan bernilai ratusan ribu ringgit.

Harian Metro memetik peguam yang mewakili Sandro, Zhafri Aminurashid, sebagai berkata, pengurusan Sarawak United kini diberi tempoh 15 hari untuk menyelesaikan tunggakan tersebut.

Tempoh tersebut adalah bermula dari 6 Mei hingga 22 Mei, dan ianya seharusnya digunakan untuk melangsaikan tunggakan gaji anak guamnya.

Sekiranya Sarawak United yang dimiliki FAS dan juga Posa Majais itu gagal melangsaikan tungakan gaji terebut, kes ini akan diheret ke Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (Fifa).

“Kalau tak jelaskan mengikut masa diberikan, kita akan bawa kes ini ke FIFA. Apapun kita masih menunggu tindakan lanjut pihak Sarawak United atas tuntutan ini,” katanya Zhafri kepada Arena Metro.

Isu gaji pemain bukan perkara baharu dari kem Sarawak United selepas mantan pemain importnya, Demerson Bruno, baru – baru ini juga mendakwa bahawa beliau belum dibayar gaji penuhnya walaupun telah berhijrah dari pasukan tersebut musim ini.

Adalah diharapkan gaji kedua – dua pemain akan dibayar dengan segera.