Ketua Jurulatih Kelantan United FC, Zahasmi Ismail memuji pihak Malaysian Football League (MFL) dan Amateur Football League (AFL) kerana menganjurkan Liga M3 yang telah melonjakkan lagi nama pasukan itu.

Jelasnya, liga anjuran MFL ini sedikit sebanyak memberi keyakinan untuk bangkit bagi menaikkan semula profil bola sepak Kelantan selepas Kelantan United muncul juara Liga M3 2019 sekali gus melayakkan diri ke Liga Premier musim depan.

Tips & maklumat berkenaan FPL dari Malaysia

Beliau juga menyifatkan beraksi dalam saingan Liga M3 bukanlah sesuatu yang mudah apabila mengharungi 26 perlawanan sebelum mengesahkan kejuaraan pertama saingan kelab amatur itu.

“Pertama kalinya syukur Alhamdulillah kerana berjaya menjuarai liga, bagi saya amat-amat bermakna kerana bukanlah mudah mengharungi liga ini sebab berdepan 26 perlawanan.

“Bagi saya Liga M3 ini baik malah sudah menyamai Liga Premier dan Liga Super (jumlah perlawanan), kita sepatutnya memperbanyakkan lagi perlawanan liga seperti ini.

“Saya berterima kasih dengan MFL kerana mengadakan liga ini, Liga M3 ini sememangnya baik untuk pasukan,” katanya.

Dalam pada itu, jurulatih berpengalaman ini juga turut mengakui bahawa tahap permainan Liga M3 ini berbeza berbanding Liga Premier.

“Mungkin tahap permainan liga M3 ini berbeza dengan Liga Premier, rasanya ia membuatkan lagi pasukan lebih semangat untuk layak mewakili liga yang besar.

“Bagi saya cabaran Liga Premier lagi mencabar, mungkin sasaran kita itu tercapai (layak ke Liga Premier) namun saingan lebih mencabar selepas ini apabila berdepan dengan pasukan yang lebih berpengalaman,” kata Zahasmi.

Untuk rekod, Kelantan United FC berjaya mengungguli kedudukan liga dengan 66 mata selepas menang 21 perlawanan diikuti Kuching FA dengan 56 mata.