Kelab bola sepak Sabah mengumumkan tiga pemain import baharu bagi mengharungi musim 2021, dan ini termasuk seorang pemain yang pernah bermain menentang kelab ternama seperti Barcelona di La Liga.
Pemain – pemain tersebut adalah pemain pertahanan Risto Mitrevski, pemain tengah Lévy Clément Madinda dan pemain sayap Saddil Ramdani.
Risto Mitrevski merupakan pemain bahagian pertahanan dari Serbia yang berumur 29 tahun.
Pemain tinggi itu tidak pernah bermain di mana – mana pasukan di Asia Tenggara, dan banyak menghabiskan kariernya di kelab – kelab sekitar Macedonia, Yugoslavia, Israel, Bornia dan Croatia.
Pada tahun 2018, Risto telah membantu kelabnya Hapoel Haifa menjulang Piala Super Israel dan Piala Negara Israel State.
Lévy pula merupakan pemain tengah dari Gabon yang berketinggian 1.82m.
Pemain berusia 28 tahun itu merupakan pemain kebangsaan Gabon, dan beliau pernah bemain dengan kelab Sepanyol, Celta sebanyak 29 kali, dan Gymnastic sebanyak 49 kali. Sebelum itu, beliau diambil bermain untuk pasukan simpanan Celta, Celta B.
Pemain tengah itu jelas memiliki kualiti apabila beliau sering dinamakan sebagai pemain utama dalam kelab – kelab lain yang beliau sertai termasuk Asteras Tripoli, Ümraniyespor, Keçiörengücü dan Giresunspor.
Seperti Risto, Sabah FC merupakan kelab Asia Tenggara pertama dalam karier Lévy.
Pemain ketiga yang diperkenalkan Sabah FC sebagai import terkini mereka adalah pemain kebangsaan Indonesia Saddil Ramdani.
Pemain berusia 22 tahun itu pernah bermain bersama kelab Sri Pahang FC (Pahang FA) pada tahun 2019 dimana beliau menjaringkan dua gol.
Sebelum itu, Saddil telah bersama Persela Lamongan, yang mana merupakan juga kelab pertama yang beliau sertai.
Saddil sebenarnya bukan calang – calang pemain kerana beliau merupakan pemain yang membantu Indonesia mendapat tempat ketiga di kejohanan B-19 AFF pada tahun 2017 dan 2018.
Beliau juga terlibat dalam memenangi pingat gangsa untuk pasukan bola sepak Indonesia pada Sukan SEA 2017, pingat perak pada Sukan SEA 2019, dan telah dinobatkan sebagai antara pemain terbaik pada tahun 2019.
Ketiga – tiga pemain import baharu Sabah FC itu akan menyertai seorang lagi pemain import Sabah FC, Park Tae-Soo, yang dikekalkan di dalam pasukan tersebut.