Status ‘rumah’ Sarawak United FC yang merupakan kelab bolasepak dari Kuching, Sarawak akhirnya terjawab apabila kelab tersebut dijadualkan membuat Stadium Selayang di Selangor sebagai venue rasmi ‘home’ kelab tersebut untuk pusingan pertama Liga Premier.

Mengikut jadual rasmi yang dikeluarkan oleh Malaysia Football League (MFL), Sarawak United dijadualkan melayan kunjungan semua pasukan Liga Premier di stadium tersebut untuk semua perlawanan 6 Mac hingga 25 Julai kelak.

Perubahan venue tuan rumah untuk Sarawak United bukan satu perkara mengejutkan kerana Pengarah Sarawak United, Posa Majais, telah sebelum ini mengesahkan bahawa kelab tersebut sedang mempertimbangkan untuk menukar pusat mereka ke Lembah Klang buat sementara waktu.

Perubahan ini dilakukan bagi memudahkan Sarawak United mengharungi Liga Premier sepanjang pandemik Covid-19 masih menular.

Posa ketika mengumumkan kehendak itu, merasakan bahawa kelab bola sepak lain tidak akan mahu ke Kuching ekoran kuarantin wajib 14 hari yang dikenakan kerajaan Sarawak bagi semua kemasukan ke Sarawak.

Satu lagi kelab dari Kuching, yakni Kuching City, akan terus kekal menggunakan Kuching sebagai gelanggang utama mereka musim ini.