Kelab Liga Premier Kuching City FC akan menggunakan Stadium Negeri sebagai venue sendiri sepanjang pusingan pertama Liga Premier yang bermula bulan hadapan.

Mengikut jadual rasmi Liga Premier yang dikeluarkan Malaysia Football League, Kuching akan membuka tirai liga pada 9 Mac dengan perlawanan menentang Terengganu II di tempat sendiri.

Biarpun bermain di tempat sendiri, Kuching City tidak akan mendapat kelebihan penonton sendiri memandangkan semua perlawanan akan diadakan dalam stadium tertutup.

Kelab yang baru berusia enam tahun itu sebelum ini telah bercadang untuk ke Johor bagi sesi latihan pra – musim, namun keadaan penularan Covid-19 menyaksikan perancangan tersebut tergendala.

Dengan Liga Malaysia kini tinggal kurang dua minggu lagi untuk berlangsung, persoalan mula hadir berkenaan tempoh kuarantin yang mungkin akan dikenakan kepada pemain bola sepak pasukan Terengganu II yang perlu ke Kuching untuk perlawana pembukaan Kuching City kelak.

Ini adalah kerana Kerajaan Sarawak mewajibkan kuarantin 14 hari untuk semua kemasukan ke Sarawak buat masa ini.

Satu lagi pasukan dari Kuching, Sarawak United, telah memilih untuk berkampung di Stadium Selayang untuk pusingan pertama Liga Premier musim ini bagi mengelakkan keprluan untuk pasukan pelawat mengikuti sesi kuarantin yang diwajibkan oleh pihak kerajaan Sarawak.