Rozaimi hilang tempat di Sabah FC

Mantan pemain kelab bola sepak Johor Darul Ta’zim, Rozaimi Abdul Rahman, kini kembali menjadi tanda tanya selepas beliau kehilangan tempat di dalam Kelab Bolasepak Sabah.

Menurut CEO Sabah FC, Dato Verdon Bahanda, kehadiran Rozaimi yang mahu bermain untuk pasukan Sabah FC sememangnya membuatkan beliau teruja.

Sungguhpun demikian, tindakan Rozaimi yang memuat naik satu video secara langsung di Facebook telah mengakibatkan pihak Sabah FC tawar hati untuk menawarkan tempat kepada anak kelahiran Sabah itu.

Dalam menjelaskan kronologi kepada keputusan Sabah FC tersebut, Verdon menjelaskan bahawa beliau sebenarnya telah berjumpa dan memaklumkan Rozaimi berkenaan ketidakupayaan Sabah FC menawarkan kontrak dalam masa terdekat dan meminta Rozaimi menunggu beberepa minggu.

“Saya teruja untuk mendapatkan khidmat beliau” kata Verdon dalam satu sidang media di ibu pejabat Sabah FC.

“Walaubagaimanapun, kita mempunyai kekangan untuk menandatangani kontrak pada masa itu kerana saya masih dalam penyusunan pengurusan dan jurulatih Sabah FC pada ketika itu dan saya memberitahu beliau bahawa saya tidak tahu bila kita boleh memulakan latihan ekoran Covid-19” jelas Verdon lagi.

Verdon juga menegaskan bahawa Rozaimi ketika itu tidak ada menyatakan keinginan mahu segera menandatangani kontrak bersama Sabah FC, dengan Rozaimi sendiri mendiamkan diri ketika perjumpaan tersebut diadakan.

Beliau juga menyatakan bahawa Rozaimi telah turut dipelawa untuk berjumpa dengan beliau pada bila – bila masa sekiranya ada yang mahu dibangkitkan berkenaan statusnya di Sabah FC.

Verdon turut memaklumkan bahawa Rozaimi telah dipanggil oleh Pengurus Sabah FC, Julius Ating, dimana Rozaimi juga telah tidak membuat sebarang permintaan untuk kontrak disegerakan.

Pada malam itu juga, Verdon memaklumkan beliau dikejutkan dengan satu video dari media sosial dimana Rozaimi telah membuat kenyataan “Siapa cepat, dia yang dapat”.

Verdon dalam pada itu melahirkan kekecewaannya terhadap tindakan Rozaimi yang mana dirasakan tidak adil terhadap dirinya dan Sabah FC.

Dalam pada itu, beliau menyatakan bahawa Sabah FC kini sudah menutup peluang untuk mengambil Rozaimi kerana tidak mahu pemain yang bersikap seperti demikian di dalam kelabnya.

“Seolah – seolah Rozaimi menuduh Sabah FC ini sebagai menipu. Kita tidak pernah menipu dalam perkara ini. Kita telah memberi peluang kepada beliau untuk berkhidmat, tetapi dengan sikap begitu, saya rasakan beliau tidak sesuai untuk bersama Sabah FC.” kata Verdon lagi.

Anda boleh melihat video keseluruhan sidang media tersebut di bawah.

error: We appreciate it if you\'d share our link instead of copying our text. Thank you.
Scroll to Top