Home BERITA BOLASEPAK Kumaahran selesa di bawah kendalian Ong Kim Swee

Kumaahran selesa di bawah kendalian Ong Kim Swee

Pemain baharu Sabah FC, S. Kumaahran mahu memperbaiki kelemahannya dari aspek penyudah untuk tidak lagi mengulangi kesilapan sama pada musim lalu.

Dia mengakui masih belum berpuas hati dengan pencapaian yang telah dilakukan ketika bersama PJ City musim lalu apabila hanya mampu meledak tiga jaringan di pentas Liga Super daripada 25 penampilan secara keseluruhan.

Justeru, kehadirannya ke Sabah adalah untuk terus membuktikan ketajaman yang masih ada bagi cuba membantu skuad ini memberi tentangan lebih sengit meskipun dia sedar saingan sukar menembusi kesebelasan utama.

Apa yang pasti, Kumaahran sedar kelemahannya dalam mencari penyudah yang berkesan perlu segera diperbaiki untuk sekurang-kurangnya meraih lebih jaringan musim ini.

“Saya ingin fokus untuk meningkatkan kualiti permainan saya terutamanya dari aspek penyudah.

“Saya nak melakukan penyudah yang lebih baik dan kena memastikan serangan yang lebih tajam kali ini sebab saya sedar musim lepas agak kurang menjadi untuk saya.

“Saya tidak mahu sekadar bercakap sahaja mengenai misi dan sasaran sebab yang penting saya kena buktikan dahulu kemampuan saya dalam perlawanan”, katanya.

Selain itu, beliau turut menjelaskan antara sebab utama penghijrahannya ke Sabah adalah kerana selesa dengan pembawakan yang dibawa oleh Datuk Ong Kim Swee selain pencapaian beliau yang cukup cemerlang membimbing skuad itu pada musim lalu.

Kumaahran yang pernah beraksi di bawah bimbingan Kim Swee bersama Harimau Muda pada 2015 menyifatkan beliau merupakan pengendali yang cukup berbeza dan kehadirannya ke Sabah adalah untuk kembali meraih pengalaman baharu bersama Kim Swee.

“Saya dah biasa dengan beliau sebab sebelum ini dah bersama-sama dalam Harimau Muda, jadi saya tahu bagaimana gaya dan pembawakannya di atas padang.

“Sebab itu saya rasa selesa untuk berada di bawah bimbingannya apatah lagi kita tahu bagaimana beliau telah membimbing Sabah pada musim lepas dengan corak permainan yang lebih baik, dan saya teruja untuk kembali bekerjasama dengan beliau”, tambahnya. – MFL

Previous articleQayyum Marjoni mahu belajar dari Rames Lai
Next articleBung Moktar removes himself as SAFA president