Pasukan bola sepak Kuching FA dilaporkan tidak berapa bersetuju dengan pelan untuk menyambung Liga Malaysia pada bulan September kelak.

Menurut pengurus pasukan tersebut, Fazzrudin Abdul Rahman, pasukan Kuching FA lebih terdedah kepada Covid-19 sekiranya liga disambung pada bulan September ini.

Beliau menambah bahawa pemain dan pegawai pasukan Kuching FA akan lebih terdedah kepada virus itu kerana terpaksa menggunakan penerbangan setiap kali ke lokasi lawan.

Fazruddin juga merasakan menghabiskan liga selepas hanya satu pusingan adalah tidak adil bagi pasukannya dan pasukan – pasukan lain yang bertanding.

“Dari segi keselamatan, sudah tentu pasukan kami akan lebih terdedah kepada wabak Covid-19 kerana kami terpaksa menggunakan penerbangan setiap kali perlawanan di tempat lawan. Risiko agak tinggi bagi pihak Kuching FA.

“Selain itu, adalah tidak adil bagi Kuching FA dan bagi pasukan lain untuk hanya menghabiskan sisa perlawanan dan kedudukan akan dikira selepas berakhir satu pusingan sahaja,” katanya kepada portal DayakDaily.

Sebelum ini, pihak MFL dan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) telah mengumumkan bahawa mereka akan cuba memulakan semula Liga Malaysia pada bulan September ini dengan semua perlawanan diadakan di dalam stadium tertutup.

Walaubagaimanapun, ini tertakluk dengan hasil mesyuarat pada bulan Jun kelak.