Real Chukai FC mahu realisasikan hasrat bermain di Liga M3

Real Chukai FC dan Kuatagh FC tidak mahu menjadikan aksi pusingan kelayakan ke Liga M3 hanya sekadar platform pemanas badan atau sekadar menguji kekuatan pasukan sebaliknya cukup serius mengimpikan dua slot ke M3 pada musim 2020.

Pengurus Real Chukai FC, Muhammad Muhaiman Ahmad Zaini berkata, kelab itu sudah lama mengimpikan peluang sebegini kerana mereka sentiasa bercita-cita tinggi mahu beraksi di pentas tertinggi bola sepak tempatan.

Justeru, beliau sentiasa memberikan motivasi kepada anak buahnya untuk memperagakan aksi terbaik sepanjang pusingan kelayakan ini yang mungkin juga menjadi peluang terbaik kepada mereka memikat pencari bakat pasukan besar.

“Kami sejak dahulu meletakkan aras yang lebih baik pada tiap-tiap musim kerana platform Real Chukai adalah untuk mengetengahkan bakat anak-anak muda dari daerah Kemaman itu sendiri terutamanya ke peringkat tertinggi.

“Peluang untuk bermain di M3 kami tidak akan lepaskan begitu sahaja malah kami begitu serius bagi hadapi pusingan kelayakan yang akan bermula pada esok (Sabtu) malah saya sentiasa ingatkan pemain-pemain agar tonjolkan apa yang mereka ada.

“Harapan kami sudah tentu mahu melangkah ke final tetapi kami mahu fokus daripada satu kepada satu perlawanan terlebih dahulu kerana laluan kami bukannya mudah, “ katanya.

Real Chukai FC yang beraksi di saingan Terengganu Amateur League (TAL) bakal membuka tirai pusingan kelayakan yang akan berlangsung di KV Rhino Arena bertemu naib juara Selangor Social Premier League (SSPL), Ikram Muda FC.

Kelab itu pernah melahirkan Muhammad Izzan Syahmi Mustapa yang diserap masuk ke dalam skuad Terengganu FC III sebelum dipilih dalam skuad Bawah 21 tahun kendalian Datuk Ong Kim Swee pada tahun lalu.

Sementara itu, juara Liga Alumni, Kuatagh FC, akan berdepan cabaran sengit daripada juara Piala Presiden Persatuan Bolasepak Negeri Sembilan (PBNS), KSR Sains dalam satu lagi perlawanan.

Turut senada seperti Real Chukai, pengurus Kuatagh FC, Ahmad Fedaeez Md. Kamal yang mengakui pasukannya telah melakukan latihan lebih rapi untuk mengharungi pusingan kelayakan ke Liga M3.

Bagaimanapun, Kuatagh FC tidak mahu bersikap terlalu yakin tambahan mereka terpaksa menempuh aksi sukar bertemu KSR Sains yang mempunyai ramai bekas pemain yang pernah bermain di Liga Super dan Liga Premier.

“Kuatagh cukup gembira kerana dapat slot playoff ini (pusingan kelayakan) dan sejak dari awal lagi, kami giat jalani latihan selain aturkan banyak perlawanan persahabatan.

“Kami memang mahukan slot ke Liga M3 walaupun diakui laluan yang kami tempuh cukup sukar kerana diundi dengan KSR Sains pada pusingan awal selain bakal berdepan pemenang Klasiko FC atau CCCP FC jika mahu ke separuh akhir.

“Malah kami sempat meninjau perlawanan akhir Piala Presiden PBNS tempoh hari antara KSR Sains yang menang dengan Wan Mei FC baru-baru ini dan saya akui lawan memang kuat daripada segenap aspek namun dalam bola sepak, tiada apa yang mustahil, ” katanya.

Antara pemain-pemain ternama yang memperkuatkan KSR Sains ialah Yosri Derma Raju, K. Ravindran serta dua bekas pemain Negeri Sembilan, Mohd. Firdaus Azizul serta Tengku Qayyum Ubadillah.

error: We appreciate it if you\'d share our link instead of copying our text. Thank you.
Scroll to Top