Pasukan Kuching FA yang baharu sahaja dinaikkan ke Liga Premier 2020 kini sedang sibuk mempersiapkan diri untuk mengharungi Liga Premier 2020.

Di dalam kesibukan mereka bersedia, pihak kami menyedari bahawa pasukan yang dimiliki oleh Persatuan Bolasepak Bahagian Kuching (KDFA) ini tidak perlu muncul naib juara atau juara Liga Premier untuk terus mendaki hierarki Liga Malaysia, dan menempatkan diri di dalam kelompok 12 pasukan Liga Super pada musim 2021.

SarawakCrocs Tribal Jersey 2020

Ini adalah disebabkan beberapa perubahan yang berlaku di dalam Liga Premier musim ini yang mana akan menyaksikan empat pasukan simpanan bersaing di liga tersebut.

Pasukan-pasukan simpanan pada Liga Premier 2020 adalah JDT FC II, Perak FA II, Selangor FA II dan Terengganu FC II.

Jika maklumat yang kami terima betul, semua pasukan simpanan ini tidak boleh memasuki liga yang sama dengan pasukan utama mereka, sekaligus menyaksikan mereka tidak boleh dipromosikan ke Liga Super.

Ini bermaksud, jika kesemua pasukan tersebut menghuni tangga empat teratas Liga Premier, maka pasukan di kedudukan ke-5 dan ke-6 Liga Premier akan naik secara automatik ke Liga SUper 2021.

Ini memberikan ruang yang cukup besar untuk pasukan baharu seperti Kuching FA untuk ‘naik pangkat’ kerana pasukan-pasukan simpanan ini sememangnya adalah pasukan yang kuat dan sukar ditewaskan kerana ada diantara mereka adalah pasukan yang setaraf pasukan Liga Super.

Selangor FA II, dan Perak FA II adalah dua pasukan yang mempunyai latar belakang Liga Super, manakala JDT FC II sepatutnya dinaikkan ke Liga Super musim 2020. Ini membuatkan ketiga-tiga pasukan tersebut kuat di atas kertas.

Ini diambah pula dengan peraturan membenarkan perpindahan tanpa had diantara pemain pasukan utama dan pasukan simpanan yang bagi kami memberi kelebihan kepada pasukan simpanan secara umum.

Dalam pada itu, secara matematiknya, Kuching FA hanya perlu muncul pasukan nombor lima dan nombor enam sahaja untuk melayakkan diri ke Liga Super 2021, dan kami agak yakin bahawa ini boleh dilakukan oleh pasukan tersebut dengan perancangan dan strategi yang betul.

Jika ini berlaku Kuching FA akan mencipta sejarah sebagai pasukan yang paling cepat ‘naik pangkat’ di dalam sejarah bola sepak Malaysia!

Apapun, musim 2020 Liga Malaysia sudah pasti akan menjadi satu musim yang menarik dengan kehadiran pasukan ‘City of Unity’.