Ianya hanyalah perlawanan pra-musim bagi pasukan Bujang Senang, dimana Ketua Jurulath Sarawak, David Usop, dijangka akan menurunkan beberapa pemain yang kini sedang dinilai untuk posisi tetap di dalam pasukan Bujang Senang 2017.
Namun demikian, Stadium Negeri hampir penuh, dengan anggaran sekitar 7,000 hingga 10,000 peminat hadir menyaksikan ‘Borneo Derby’.
Perlawanan yang berkesudahan 0-1 memihak Sabah FA nyata mengecewakan peminat pasukan Bujang Senang yang rata-rata melahirkan komen negatif berkenaan beberapa pemain asing yang kini sedang diuji.
Sungguhpun demikian, jika dilihat dari sudut positif, pasukan Bujang Senang sebenarnya bertindak agak baik dengan pemain yang rata-rata ‘masih mentah’.
Pemain berpengalaman seperti Tommy Mawat dan Dzulazlan Ibrahim jelas menyinar pada perlawanan tersebut, dan barisan pertahanan pasukan Bujang Senang berjaya mengekang serangan pasukan Sabah yang sememangnya hadir dengan barisan terkuat mereka.
Dalam pada itu, perlawanan malam tadi juga membuktikan betapa betulnya keinginan David untuk mencari penyerang yang lebih berbisa untuk pasukan bimbingannya kerana beberapa peluang yang terhidang, gagal dimanfaatkan sebaiknya.
Dengan Liga Super bermula dua minggu lagi, David kini perlu berusaha lebih keras untuk mencari seorang penyerang yang benar-benar mampu memberikan impak segera kepada pasukannya kerana jika barisan penyerang yang diuji malam tadi diambil, maka berkemungkinan pasukan Bujang Senang akan menghadapi kesukaran menjaringkan gol pada musim ini.