Posa sokong Suhordie sebagai Presiden FAS

Selepas Rahman Lariwoo melahirkan kesediaan beliau menggantikan Posa Majais selaku Presiden Persatuan Bola Sepak Sarawak, dan khabar kuat mengatakan Abang Zulkarnain mungkin akan dipilih ke jawatan itu, kini satu lagi individu tampil untuk menyatakan kesediaannya mengambil alih kerusi panas yang kini diduduki Posa.

Menurut laporan media, Abang Suhordie Abang Zaini, telah menyatakan kesediaanya untuk menggalas tanggungjawab Presiden FAS.

Walaubagaimanapun, laporan sama menyatakan bahawa Suhordie hanya akan mengambil alih kepimpinan FAS sekiranya mendapat sokongan semua ahli gabungan persatuan.

“Bagi saya, tiada masalah untuk mengambil alih tampuk kepimpinan dalam FAS jika diberi peluang serta mendapat sokongan daripada semua ahli gabungan,” kata Abang Suhordie kepada Arena Suara Sarawak.

Suhordie bukanlah nama asing dalam bola sepak Sarawak kerana beliau juga merupakan Presiden Persatuan Bola Sepak Bahagian Betong (BDFA).

Beliau juga merupakan Naib Presiden FAS pada 2016 – 2018, dan pernah menguruskan pasukan Belia Sarawak dalam tempoh yang sama.

Pada tahun 2021, beliau telah dilantik menjadi Pengurus Sarawak United.

Hubungan rapat Suhordie dengan pihak pengurusan FAS terserlah apabila laporan media juga menyatakan bahawa Suhordie mendapat sokongan Posa sendiri.

Posa dipetik menyambut baik keinginan Suhordie, dan mempercayai beliau mempunyai kredibiliti untuk jawatan tersebut, disamping mempunyai sumber kewangan yang kukuh.

Sokongan Posa boleh dilihat sebagai memberi lampu hijau kepada Suhordie sebagai bakal penggantinya.

Sungguhpun demikian, namun dengan tidak kurang tiga calon kini dikhabarkan berminat untuk jawatan tersebut, serta khabar hadirnya keinginan sesetengah pihak yang mahukan calon yang bukan dari ‘ahli exco kini’, segalanya mungkin jika Posa memilih untuk meletak jawatan kelak.

error: We appreciate it if you\'d share our link instead of copying our text. Thank you.
Scroll to Top