Kelab bola sepak Kuala Lumpur kini berdepan masalah kecederaan apabila ayam tambatannya dilaporkan cedera.

Ketu jurulatih Kuala Lumpur, Bojan Hodak dilaporkan terpaksa meneruskan saingan Liga Super tanpa Dominique Da Slyva yang akan disisihkan bagi tempoh dua minggu ekoran kecederaan di bahagian ligamen kaki.

Situasi itu bermakna Dominique dijangka tidak akan bermain dalam baki tiga perlawanan Liga Super sebelum semua pasukan berehat selama dua bulan bagi memberikan laluan kepada skuad kebangsaan yang akan mengharungi pusingan kelayakan Piala Dunia 2022/ Piala Asia 2023.

“Dominique sememangnya pemain yang cukup penting kepada pasukan, tanpanya kami tidak banyak pilihan selain Romel Morales, namun dia lebih sesuai bertindak selaku pembantu di bahagian serangan.

“Selain itu, saya mungkin menimbangkan Safee Sali dan mana-mana pemain di bahagian tengah yang boleh bertindak selaku penyerang seperti Paulo Josue.

“Berdepan JDT, saya faham mereka pasti datang dengan situasi yang lebih bersemangat selepas kalah tempoh hari tetapi perkara ini amat baik kepada kami.

“Tekanan mungkin akan dirasai oleh mereka dan situasi adalah normal dalam bola sepak, jadi kami cuba yang terbaik berikan saingan kepada JDT, ” katanya.