Pemilik Sarawak United FC, Posa Majais, jelas kecewa dengan tindakan pemian importnya Sandro Da Silva, yang telah membuat isu berkenaan kelewatan gajinya.
Hasil tindakan Sandro, isu berkenaan kelewatan gaji di dalam Sarawak United kini menjadi bahan bualan peminat bola sepak negara.
Posa yang jelas kecewa dengan tindakan Sandro itu menyatakan bahawa Sarawak United kini sudah bersedia untuk berpisah dengan pemain tengah tersebut.
“Kenapa Sandro perlu (war-warkan) masalah gaji sedangkan hanya tertunggaknya sebulan setengah.” persoal Posa dalam satu laporan Astro Arena.
“Itu pun nak keluar di berita dunia, bukannya 2-3 bulan pun.
“Boleh pastikan dengan pemain-pemain lain, gaji yang tertunggak ialah sejak April lalu dan bulan ini.” jelas Posa lagi.
Posa dalam pada itu mendakwa bahawa dakwaan dari pihak Sandro itu telah menyebabkan kelab lain menghasut pemain Sarawak United. Posa dalam pada itu meminta pemain mencerminkan diri mereka sendiri dahulu.
“Yang saya kesalkan, apabila kelab lain tahu masalah ini, mereka mula menghasut pemain kami.” jelas Posa kepada Astro Arena.
“Mereka sepatutnya cermin diri sendiri dulu, adakah OK atau tidak?” katanya lagi.
Peguam yang mewakili Sandro telah sebelum ini mendakwa bahawa gaji Sandro masih tertunggak dan mahu membawa kes tersebut kepada FIFA sekiranya tunggakan gajinya gagal dibayar dalam masa 15 hari.
Dalam hal berkaitan, Posa menyerahkan kedudukan Sandro kepada ketua jurulatih Sarawak United, E. Elavarasan.
Sungguhpun demikian, Posa mengakui bahawa dia tidak lagi mahu bersemuka dengan Sandro jika diberi pilihan, dan rela ‘men-sedekahkan’ sahaja pemain tersebut kepada pasukan yang berminat.
“Terserah kepada jurulatih kerana kalau ikutkan hati, saya memang tidak mahu tengok muka dia lagi.” jelas Posa kepada Astro Arena.
“Kalau hendak kekal, dia perlu tunjukkan prestasi baik.
“Kalau betul kelab luar nak ambilnya, saya bagi percuma sahaja cuma bayar gaji sebulannya yang tertunggak.
“Soal yuran perpindahan, saya sedekahkan sahaja.” jelasnya lagi.