Pihak Football Limited Liability Partnership (FMLLP) yang menguruskan Liga Malaysia akan memperkenalkan Piala Cabaran (Challenge Cup) pada musim akan datang bagi memastikan semua pasukan yang berada di dalam Liga Malaysia kekal aktif biarpun Liga Premier dan Liga Super telah berakhir.
Kelmarin, pihak FMLLP mengumumkan bahawa format bagi Liga Malaysia musim 2018 akan menyaksikan Piala Malaysia kembali menjadi pertandingan terakhir bagi Liga Malaysia, mengembalikan pertandingan tersebut ke format asal selepas ianya diubah dua musim sebelum ini.
Perubahan format kepada format asal ini telah menyaksikan pasukan yang tidak berjaya melayakkan diri ke pertandingan berprestij itu memiliki masa rehat yang panjang selepas tamatnya Liga Premier dan Liga Super pada bulan Julai.
CEO FMLLP Kevin Ramalingam dilaporkan akhbar New Straits Times sebagai berkata bahawa format untuk Piala Cabaran belum lagi diperhalusi buat masa ini, namun yang pasti, ianya akan menyaksikan semua pasukan di dalam Liga Malaysia mempunyai lebih banyak perlawanan pada musim hadapan.
Dalam pada itu, Kevin turut mengesahkan bahawa 11 pasukan teratas Liga Super, dan lima pasukan teratas Liga Premier akan layak secara automatik ke Piala Malaysia, sekaligus menyaksikan baki lapan pasukan bertarung di dalam Piala Cabaran yang akan dianjurkan FMLLP kelak.
//Jersi Tribal SarawakCrocs bakal dilancarkan pada Januari 2018. Like KedeySarawakCrocs di FB untuk maklumat lanjut.