Ketua jurulatih Sarawak United menyatakan sesebuah pasukan perlu konsisten sekiranya mahu menjuarai Liga Premier.
Beliau yang diminta mengulas kejayaan pasukannya mengekalkan rekod tanpa bolos dalam Liga Premier ternyata amat bersyukur dengan rekod tanpa bolos pasukannya setakat ini di dalam liga.
“Tahniah kepada penjaga gol, pertahanan dan keseluruhan pemain Sarawak (United) kerana misi untuk menang satu, lepas tu misi untuk mengekalkan rekod tanpa bolos.” kata Elavarasan selepas perlawanan menentang Kelantan FC Sabtu lalu.
Elavarasan juga mahu pasukan beliau mengekalkan apa yang kini dilakukan pasukannya, yakni terus berjaya memungut mata penuh dan terus mengekalkan rekod tanpa bolos.
“Saya harap kita boleh kekalkan dengan apa kita buat sekarang. Sebab itu dalam liga kita kena konsisten. Ada masa kita main bagus, dan ada masa anda akan kalah. Jadi konsistensi itu penting jika mahu menjuarai liga.” jelasnya lagi.
Sarawak United kini belum bolos dalam liga, dan kini menghuni tangga kedua Liga Premier.
Pasukan bimbingan Elavarasan itu diletakkan sebagai pilihan untuk menjuarai Liga Premier musim ini, dan setakat ini menepati ramalan tersebut dengan aksi kemenangan dalam setiap perlawanan.
Jika kelab ini berjaya mengekalkan rekod tanpa kalah mereka sehingga akhir musim, pasukan ini akan mengulangi kejayaan pasukan Sarawak FA pada tahun 2013, yang mengakhiri musim dengan kejuaraan Liga Premier, dengan juga mengekalkan rekod tanpa kalah.
Sungguhpun demikian, jika Sarawak United tidak bolos sebarang gol sehingga tamat musim kelak, maka ianya akan menjadi satu rekod baharu di dalam Liga Malaysia sediri.