Kejayaan kelab bolasepak Kuching City mengikat pasukan Negeri Sembilan dalam perlawanan Liga Premier Ahad lalu menepati sasaran kelab tersebut.

Penolong ketua jurulatih Kuching City, Sulaiman Hussin gembira dengan keputusan tersebut yang beliau sifatkan adalah ‘baik’ kerana berdepan pasukan hebat seperti Negeri Sembilan.

Negeri Sembilan merupakan satu daripada dua pasukan pilihan untuk menjuarai Liga Premier pada musim ini.

“Saya ucap tahniah kepada pemain saya, kerana matlamat kita datang ke sini adalah untuk mengutip mata. Satu atau tiga mata tidak menjadi alasan.” kata Sulaiman selepas perlawanan.

Yang penting kita telah sasarkan mendapatkan satu mata menentang pasukan hebat seperti Negeri Sembilan dan ianya adalah satu bonus dan pemberi semangat kepada pemain Kuching City untuk perlawanan akan datang.” jelasnya lagi.

Dalam perkembangan sama, Sulaiman mengakui bahawa permainan Kuching City menentang Negeri Sembilan tidak berada di tahap terbaik, namun bersetuju bahawa pasukan beliau akan menilai baik aksi pasukan tersebut, dan mencari cara untuk meningkatkan lagi prestasi pasukan bimbingannya bersama Irfan Bakti itu.

“Pada kami, selepas ini kita akan nilai balik bagaimana cara kita main secara keseluruhan.” jelas Sulaiman.

“Misi kita di Paroi berjaya.” ujarnya lagi.

Keputusan seri dengan Negeri Sembilan walaubagaimanapun tidak membantu Kuching City yang kini di kedudukan bawahan Liga Premeir, jauh dari sasaran mereka untuk mencabar dalam mendapat tempat promosi ke Liga Super 2022.