Kelab bola sepak Kuching City berjaya memungut satu mata berharga dalam perlawanan Liga Premiernya kelmarin selepas mengikat pasukan pilihan, Negeri Sembilan dalam satu pertarungan sengit di Stadium Paroi.

Perlawanan tersebut walaubagaimanapun menyaksikan Kuching City terpaksa membuat pertukaran awal apabila pemain pertahanan kebalnya, Dzulazlan Ibrahim, terpaksa diusung keluar ekoran patah tulang bahu seawal minit pertama.

Kecederaan Dzulazlan tidak mematahkan semangat Kuching City yang terus meneruskan aksi menarik mereka sepanjang kempen Liga Premier.

Muhammad Rafiq Shah hadir antara yang sering mengganggu pertahanan Negeri Sembilan dan beliau membuat percubaan dari dalam petak penalti yang hanya mampu ditampan oleh penjaga gol Negeri Sembilan, Mohd Muhaimin.

Ini disusuli oleh rembatan Bryan Jones yang jauh dari sasaran biarpun dia hanya perlu menewaskan Muhaimin.

Negeri Sembila juga hampir berjaya menjaringkan gol pada babak pertama tetapi rembatan penyerang handalan mereka, Rafael Gomes turut jauh dari sasaran.

Bersambung babak kedua, Kuching City meneruskan asakan ke atas kawasan Negeri Sembilan, dan Bryan hampir menjaringkan gol yang dicari, namun rembatan kencangnya terkena palang gol.

Ini disusuli rembatan cantik dari Zainuddin Bohri dari luar petak penalti, yang juga berjaya diselamatkan oleh Muhaimin.

Kuching City akhirnya mempunyai peluang keemasan untuk meledakkan gol pertama perlawanan. Inikerana mereka dihadiahkan sepakan penalti apabila bola terkena salah seorang pemain Negeri Sembilan.

Sungguhpun demikian, Muhaimin bertindak cemerlang menyelamatkan sepakan penalti Bryan, sekaligus mengekalkan jaringan dalam keadaan setara bagi kedua – dua pasukan.

Enggan mengalah, Kuching City terus melancarkan serangan demi serangan ke gawang Negeri Sembilan.

Joseph Kalang Tie juga menguji kekebalan Muhaimin di tengah gawang Negeri Sembilan, namun rembatan dalam kotak penalti yang beliau lakukan dalam minit minit terakhir perlawanan mudah diselamatkan Muhaimin sekali lagi.

Keputusan tanpa jaringan bagi kedua – dua pasukan kekal sehingga tamat perlawanan, sekaligus menyaksikan Kuching City mencuri satu mata berharga dari pasukan yang dianggap antara pilihan menjuarai Liga Premier musim ini.