Peminat bolasepak Sarawak mula gelar pasukan sendiri ‘cap ayam’

Enam tahun lalu, peminat pasukan Sarawak FA bangun marah apabila pengacara Erafm menggelar pasukan kesayangan mereka ‘cap ayam’.

Kini, pada tahun 2019, label tersebut diberi sendiri oleh peminat bolasepak Sarawak di laman-laman sosial.

Sesungguhnya perubahan dari segi penilaian mereka terhadap pasukan mereka ini berpunca dari kekecewaan mereka terhadap situasi kini pasukan Sarawak FA.

Sarawak saban bulan sering dibelenggu masalah luar padang, dan kekalahan demi kekalahan yang diterima di dalam padang saban minggu menjadikan peminat resah dan kecewa terhadap pasukan yang satu masa dahulu mereka sanjung.

Jika pada awalnya peminat mampu menerima alasan pasukan mereka masih dalam pembinaan, kini alasan itu sudah tidak dapat diterima lagi kerana pasukan-pasukan lain sudah mula bergerak ke arah lebih baik.

Malahan, kegagalan pasukan Sarawak melengkapkan pendaftaran pemain pada masa ditetapkan buat kali kedua membuatkan peminat mula bertanya mengapa Sarawak masih gagal berubah kearah bolasepak professional sungguhpun pasukan lain seperti Sabah, dan PKNS berjaya melaksanakan.

Biarpun ada di antara golongan peminat yang terus melaungkan slogan “jika bukan kita, siapa lagi” kehadiran peminat di stadium menggambarkan slogan tersebut sudah tidak ‘makan’ kerana peminat pada umumnya mahukan pasukan yang menang.

Jika tidak menang pun, mereka mahukan pasukan yang diuruskan secara profesional tanpa skandal-skandal besar.

Dalam pada itu, Sarawak kini mula kembali ke zaman kejatuhan. Zaman ini adalah seperti era tahun 2001 hingga 2011. Pada ketika itu, tewas adalah perkara biasa.

Zaman itu nampaknya sudah kembali, dan jika peminat Sarawak sendiri menggelar pasukan mereka pasukan ‘cap ayam’, maka sesuatu perlu dilakukan agar peminat lebih percaya kepada pasukan mereka sendiri.

error: We appreciate it if you\'d share our link instead of copying our text. Thank you.
Scroll to Top