Mesyuarat Agung Persatuan Bolasepak Sarawak (FAS) hari ini telah berakhir dengan ketiadaan pelantikan untuk jawatan Presiden FAS yang baharu.
Menurut RTM Sarawak, pemilihan presiden yang baharu berpunca daripada keengganan Datu Sudarsono, yang juga merupakan pemegang jawatan Presiden selama tujuh tahun di FAS, dilantik semula ke jawatan tersebut.
Sudarsono sebelum ini telah mengumumkan keputusan beliau untuk tidak mempertahankan jawatan Presiden FAS yang dipegang beliau.
Satu sumber SarawakCrocs walaubagaimanapun menyatakan bahawa pemilihan Presiden pada Mesyuarat Agung kali ini tidak dapat dibuat kerana calon yang diingini tidak hadir, manakala satu lagi sumber SarawakCrocs memaklumkan seorang yang berpengaruh dan ‘agak muda’ dari parti politik PBB bakal menjadi presiden.
Sumber sama turut menyebut bahawa cadangan awal untuk mencalonkan Datuk Amar Awang Tengah tidak dapat dilakukan memandangkan beliau kini di luar negara.
Pemilihan presiden FAS akan dibuat dalam tujuh hari dalam satu mesyuarat khas (EGM) yang mana nama akan dicalonkan oleh ahli gabungan FAS.