Mengapa David Usop perlu dikekalkan?

Belum pun separuh aksi Liga Super tamat, sudah ada suara sumbang yang memanggil peletakan jawatan Ketua Jurulatih Sarawak FA, David Usop.

Beliau yang dua kali berjaya menyelamatkan Sarawak FA daripada tersingkir ke Liga Premier sebelum ini telah diberi kepercayaan penuh oleh Persatuan Bolasepak Sarawak (FAS) untuk membawa cabaran pasukan muda Sarawak FA bagi 2017.

Sungguhpun demikian, selepas lapan perlawanan, pasukan bimbingan David kini berada di tangga kedua terbawah liga, di dalam zon penyingkiran, dengan tujuh mata.

Siaran langsung Sarawak menentang Felda United tempoh hari menyemarakkan lagi permintaan peminat untuk ‘memaksa’ FAS melepaskan David Usop, tetapi kami di SarawakCrocs merasakan ini bukanlan cara terbaik atas beberapa faktor seperti disenaraikan dibawah.

SARAWAK BELUM DALAM BAHAYA

Jika dikaji secara am, Sarawak FA masih boleh keluar dengan mudah daripada kelompok bawahan Liga Super kerana jarak antara mata hasil kutipan Sarawak FA setakat ini tidak jauh beza daripada pasukan-pasukan lain. Sarawak FA hanya perlu memastikan mereka memenangi perlawanan-perlawanan dengan pasukan-pasukan seangkatan dengannya untuk kekal selamat sehingga akhir musim.

PASUKAN MUDA DAN MENTAH

Sebelum David Usop menjadi Ketua Jurulatih, ramai peminat membuat permintaan bahawa Sarawak FA dibarisi pemain muda dari Sarawak. Hasrat mereka tertunai musim ini apabila FAS bertindak menggugurkan hampir semua pemain bukan Sarawak sungguhpun mereka dikatakan masih terikat dengan kontrak bersama Sarawak FA. Kekosongan akibat pengguguran pemain bukan Sarawak ini telah diisi dengan pemain-pemain mentah dari Piala Presiden yang belum pernah bermain bolasepak di peringkat tertinggi. Dalam pada itu, sudah pasti mereka perlukan masa untuk mematangkan permainan mereka dan membiasakan diri dengan saingan yang ada.

WUJUD PENINGKATAN DARI SEGI PERMAINAN

Ramai peminat bolasepak mengecam corak permainan Sarawak FA apabila mereka menyaksikan siaran langsung tempoh hari, tetapi ramai yang tidak tahu bahawa wujud peningkatan di dalam aksi pasukan bimbingan David Usop jika anda menyaksikan pasukan bimbingan bermain dari awal musim. Sememangnya Sarawak FA tenggelam pada separuh masa kedua, namun sekurang – kurangnya, pasukan tersebut mencabar pada babak pertama dengan hantaran pendek yang tepat, dan cubaan-cubaan menarik. Pada perlawanan sebelumnya, pasukan Sarawak FA lebih teruk dan tidak mampu pun bertahan sehingga tamat babak pertama. Tambahan dengan itu, ketiadaan ‘set piece’ pada awal musim juga kini nampaknya sudah mula diperbaiki dengan Sarawak FA berjaya mengatur beberapa set piece baik ketika menentang Felda United.

KEMBALI KE LIGA PREMIER BUKAN SESUATU YANG NEGATIF

Seharusnya, inilah yang mahu dielakkan oleh ramai, tetapi pada pandangan kami, ianya tidaklah sesuatu yang buruk sekiranya Sarawak FA kembali Liga Premier. Ini adalah memandangkan pasukan Sarawak FA kini terdiri dari pemain muda dan mentah yang memerlukan pendedahan lebih banyak sebelum dapat mematangkan diri. Bermain di Liga Premier mungkin boleh memberikan pengalaman tersebut secara berperingkat, dan membantu pemain-pemain ini mematangkan permainan mereka sehingga menjadi taraf Liga Super. Adalah diharapkan, jika Sarawak FA tersingkir ke Liga Premier, FAS akan juga terus mengekalkan David agak dia boleh membimbing pemain menjadi lebih matang. Lagipun, tidak salah kembali ke Liga Premier dan kembali ke Liga Super sebagai juara, kan?

error: We appreciate it if you\'d share our link instead of copying our text. Thank you.
Scroll to Top