Dengan berakhirnya musim 2016 untuk Sarawak, fokus kini tertumpu kepada pihak pengurusan Persatuan Bolasepak Sarawak (FAS) berkenaan hala tuju dan risiko dan peluang yang akan diambil untuk memperbaiki kedudukan pasukan Bujang Senang pada musim 2017.
Di dalam kesibukan itu walaubagaimanapun, wujud desas desus ke telinga pihak SarawakCrocs bahawa wujud semula masalah pembayaran gaji di kalangan pemain pasukan Sarawak pada musim ini. Pihak kami tidak tahu berapa lama tunggakkan gaji ini telah berlaku.
Sumber kami yang tidak ingin namanya dikenali, turut memaklumkan bahawa selain daripada pembayaran gaji, pembayaran bonus yang dijanjikan di dalam kontrak juga tertunggak.
Pihak kami percaya bahawa masalah pembayaran gaji ini ada hubung kait dengan perubahan di peringkat pengurusan FAS, dimana perubahan tampuk pemerintahan akan sedikit sebanyak mengganggu prosedur pengeluaran wang dan gaji.
Sungguhpun demikian, pihak kami berharap masalah ini dapat diselesaikan dengan segera.