Lucas Kalang Laeng dilaporkan oleh akhbar Utusan Borneo sebagai salah seorang peserta ke Kursus Kejurulatihan Diploma Profesional AFC 2019 – 2020 modul ke-empat yang bertempat di Osaka dan Saitama, Jepun.

Menurut laporan akhbar tersebut hari ini, Lucas menyertai lapan orang jurulatih bola sepak lain dari Liga Malaysia, dan 11 orang jurulatih bola sepak luar negara lain ke kursus tersebut.

Tips & maklumat berkenaan FPL dari Malaysia

Kursus yang memakan 14 hari itu diadakan dari 1 – 14 Oktober dan ianya hanya dibuka keapda jurulatih bola sepak yang memiliki lesen ‘A’ AFC selama dua tahun, dan memiliki pengalaman mengendalikan pasukan kebangsaan atau kelab profesional.

Sepanjang berada di Jepun, jurulatih Lucas bersama jurulatih bola sepak yang lain akan menyaksikan sesi latihan pasukan J-League, perlawanan liga J-League serta perlawanan kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 yang melibatkan pasukan Jepun.

Pemilihan Lucas sebagai salah seorang peserta ke kursus berkenaan menarik perhatian peminat kerana Lucas adalah antara jurulatih yang disebut-sebut sebagai bakal ketua jurulatih pasukan Sarawak FA pada musim hadapan.

Ini adalah kerana Lucas bukanlah bersendirian di dalam memenuhi kriteria untuk mengikuti kursus tersebut, dengan jurulatih lain seperti David Usop, Pengiran Bala dan Jalil Ramli juga memenuhi kriteria yang ditetapkan.

Dalam pada itu, khabar angin di kalangan peminat yang menyebut Lucas sebagai bakal pengganti Ian Gillan pada musim hadapan dalam pada itu kini bertambah kencang ekoran pemilihan Lucas ke Jepun bagi mengikuti kursus kejurulatihan yang dianggap ‘antara lesen tertinggi dalam karier seorang jurulatih bola sepak’.

Biarpun semua ini masih lagi khabar dan spekulasi, namun pemilihan Lucas ke kursus kejurulatihan di Jepun ini boleh dianggap sebagai satu petanda yang khabar tersebut mungkin ada kebenarannya.

Samada betul atau tidak Lucas akan menggalas tugas sebagai Ketua Jurulatih Sarawak FA yang baharu kelak sememangnya masih lagi satu spekulasi liar dan buat masa ini hanya Persatuan Bolasepak Sarawak akan mampu menjawabnya.