Pasukan Sarawak FA kini dikhabarkan sedang giat membuat pemilihan Ketua Jurulatih yang baharu bagi musim 2020 selepas Persatuan Bolasepak Sarawak (FAS) mengumumkan pelantikan Ahli Jawatankuasa khas bagi memilih jurulatih pasukan senior untuk musim hadapan.

Jawatankuasa yang dipengerusikan oleh Hamzah bin Brahim dikhabarkan kini telah menyenarai pendek beberapa nama yang berkemungkinan mengambil alih tugas yang kini dipegang oleh Ian Gillan. Ian Gillan masih merupakan ketua jurulatih pasukan Sarawak, namun adalah difahamkan bahawa tugas mengendalikan pasukan adalah dibawah tanggungjawab Denny Da’ail.

Tips & maklumat berkenaan FPL dari Malaysia

Laman Facebook Shoot Sampe Bisak mendakwa bahawa FAS sudah mengesahkan bahawa mereka sedang menilai beberapa jurulatih dari dalam dan luar Sarawak bagi musim hadapan.

Buat masa ini, tiada nama jurulatih luar Sarawak dikaitkan dengan pasukan Sarawak FA, namun desas desus di kalangan peminat mengatakan Lukas Kallang mungkin akan mendapat lampu hijau bagi membimbing pasukan tersebut pada musim hadapan.

Khabar angin ini walaubagaimanapun tidak dapat dipastikan dengan sumber kami juga enggan mengesahkan khabar tersebut.

Turut disebut untuk mengambil ‘kerusi panas’ di Sarawak FA adalah mantan Ketua Jurulatih Piala Belia pasukan Sarawak FA, Safri Amit.

Biarpun spekulasi masih bertiup kencang, belum ada tanda-tanda siapakan Ketua Jurulatih baharu pasukan Sarawak FA pada musim hadapan.

Dalam perkembangan sama, FAS telah juga mengumumkan bekas pemain Sarawak, yakni Ahmad Fairuz Yunus sebagai Ketua Jurulatih pasukan Piala Presiden Sarawak.