Kuching sah tuan rumah play-off Liga Premier

Malaysian Football League (MFL) hari ini mengumumkan kelab Kuching FA akan menjadi Pasukan Tuan Rumah (PTR) bagi perlawanan playoff Liga Premier 2020 menentang Sarawak FA yang bakal berlangsung pada 23 November ini.

Perlawanan yang bakal menemukan naib juara Liga M3, Kuching FA dengan pasukan di tangga ke-11 Liga Premier, Sarawak akan berlangsung di Stadium, Sarawak, Kuching jam 8.15 malam.

MFL dalam satu kenyataan hari ini berkata, keputusan dalam memilih PTR dibuat menerusi undian dalam satu mesyuarat yang dihadiri wakil MFL, Kuching FA dan Ticket Hotline.

Setiausaha Agung Persatuan Bolasepak Sarawak Jefry Lana yang tidak dapat hadir pada saat- saat akhir pada mesyuarat berkenaan turut menyatakan persetujuan dengan keputusan melalui sistem undian berkenaan.

Turut diputuskan sejumlah 12,000 keping tiket akan dicetak dengan 2,000 tiket untuk Grandstand dan 10,000 terbuka. Harga bagi tiket Grandstand adalah RM10.00 manakala tiket terbuka adalah RM5.00.

Selain itu mesyuarat telah bersetuju supaya MFL membuat permohonan rasmi kepada Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) untuk melantik pegawai-pegawai perlawanan dari negeri berkecuali untuk bertugas pada perlawanan tersebut.

Perlawanan playoff membabitkan wakil Liga M3 ke Liga Premier selaras dan termaktub Manual Liga M3 perkara 7; Promosi dan Relegasi menyaksikan dua aksi kelayakan playoff diadakan membabitkan pasukan menduduki tangga ke-11 dan 12 Liga Premier bertemu juara dan naib juara Liga M3.

Bagaimanapun, Juara Liga M3, Kelantan United layak ke Liga Premier musim 2020 secara _bye_ selepas pasukan tercorot Liga Premier, Perlis FA tidak layak bermain di pusingan playoff dan turun ke Liga M3 musim 2020 selepas penyertaan mereka dibatalkan dalam Liga Premier musim lalu.

error: We appreciate it if you\'d share our link instead of copying our text. Thank you.
Scroll to Top