Umum sudah tahu, Selangor United akan dijenama semula menjadi Sarawak United, sekaligus membawa nama Sarawak.
Langkah drastik ini menurut, Presiden Persatuan Bolasepak Sarawak (FAS), Posa Majais, adalah untuk menyelamatkan maruah.
Disebalik kenyataan Posa tersebut, kami melihat langkah pengambilalihan Selangor United dan penjenamaan semulanya kepada Sarawak United sabagai jalan pintas bagi menyelesaikan beberapa masalah yang sebelum ini melanda pengurusan pasukan Sarawak FA sejak 2017.
Di sini kami rungkaikan masalah yang hadir dan cara ianya diselesaikan melalui pengambilalihan Selangor United oleh FAS.
LESEN KELAB BOLA SEPAK
FAS telah beberapa tahun sudah cuba mendapatkan lesen kelab bola sepak untuk Sarawak FA. Musim 2019, Sarawak FA dianugerahkan lesen kelab bola sepak kebangsaan secara bersyarat. Pengambilalihan Selangor United menyelesaikan masalah mendapatkan lesen kelab bola sepak yang dihadapi FAS untuk Sarawak FA sebelum ini kerana Selangor United sudah dianugerahkan lesen kelab bola sepak penuh oleh Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM).
KES HUTANG LAPUK
Umum tahu Sarawak FA didakwa mempunyai masalah pembayaran gaji dan ini pernah dikaitkan dengan hutang-hutang FAS sebelum ini. Pemilikan lesen kelab bolasepak oleh Selangor United mengesahkan pasukan tersebut bebas dari mana-mana hutang, sekaligus memberi FAS satu peluang untuk menguruskan sebuah pasukan bola sepak tanpa beban hutang. Ini bermaksud Sarawak United kelak akan memulakan musim mereka dengan dana baharu tanpa perlu risau membayar hutang-hutang lama kelab tersebut.
DOKUMENTASI PENGURUSAN
Pengambilalihan Selangor United yang sudahpun memiliki lesen kelab bola sepak akan memudahkan proses penyediaan dokumentasi kelab Sarawak United pada musim-musim akan datang. Sebelum ini, Sarawak FA sememangnya dikhabarlan mempunyai masalah dokumentasi, sekaligus menyukarkan Sarawak FA mendapatkan lesen kelab. Dengan dokumentasi Selangor United yang lebih teratur, dan diambil alih oleh FAS kelak, dokumentasi Sarawak United akan dilihat lebih baik dan sempurna kerana hanya perlu mengikut apa yang sudah dibuat Selangor United sebelum ini.
KEKAL DI LIGA PREMIER
Penurunan Sarawak FA yang membawa nama negeri Sarawak, ke Liga M3 adalah satu tamparan hebat kepada FAS. Sungguhpun demikian, dengan pengambilalihan Selangor United, dan penjenamaan semula pasukan tersebut kepada Sarawak United, nama Sarawak dapat kekal di dalam Liga Premier. Ini mungkin merupakan satu langkah yang perlu bagi FAS yang mana mahu terus mengekalkan jenama ‘Sarawak’di dalam liga bola sepak profesional Malaysia.