Selepas berusaha hampir dua tahun untuk memperolehi lesen kelab bola sepak, pasukan Sarawak FA akhirnya berjaya mendapatkan lesen kelab bola sepak.

Sungguhpun demikian, kenyataan Persatuan Bolasepak Malaysia menyatakan bahawa Sarawak FA mendapat lesen kelab bola sepak secara bersyarat.

Tips & maklumat berkenaan FPL dari Malaysia

First Instance Body (FIB) Pelesenan Kelab FAM yang bermesyuarat pada 4 November 2019 memberikan Sarawak FA lesen kebangsaan dengan bersyarat.

Turut mendapat lesen kelab bola sepak secara bersyarat adalah Kelantan FA.

Menurut kenyataan FAM, “Lesen kebangsaan diberikan dengan bersyarat disebabkan beberapa jaminan yang diperlukan daripada pihak ketiga.”

Kenyataan FAM seterusnya berkata “kedua-dua pasukan telah mengemukakan dokumen sokongan yang menunjukkan jaminan untuk semua perkara yang tertunggak dan akan dipantau untuk memastikan semua jaminan itu dipenuhi.”

FAM dalam pada itu juga memberi amaran bahawa sekiranya ada diantara perkara yang dipantau gagal dilaksanakan, lesen kebangsaan kedua-dua pasukan boleh dibatalkan.

FIB FAM dalam pada itu telah juga memberi amaran dan nasihat agar kedua-dua pasukan lebih teliti dan memberi perhatian terhadap tarikh akhir yang telah ditetapkan.

Sarawak FA sebelum ini berdepan risiko akan diturunkan ke Liga M3 sekiranya gagal mendapatkan lesen kelab bola sepak yang diperlukan untuk bertanding di Liga Premier 2020.

Dengan penganugerahan lesen kelab bola sepak ini, Sarawak FA kini boleh fokus kepada persediaan perlawanan play-off Liga Premier 2020.