Sarawak United dapat sokongan Miri

Keputusan Presiden Persatuan Bolasepak Sarawak (FAS), Posa Majais mengambil alih Selangor United dan menjenama semula pasukan tersebut kepada Sarawak United telah mendapat sokongan daripada Persatuan Bola Sepak Bahagian Miri (PBBM).

Dalam satu laporan oleh Suara Sarawak, Timbalan Presiden PBBM Nazri Ahmad Lai dipetik sebagai berkata ia merupakan inisiatif Posa untuk mengekalkan Sarawak untuk kekal bersaing dalam Liga Premier.

Menurut laporan tersebut, Nazri berpendapat ianya adalah satu tindakan yang unik dan PBBM sebagai ahli gabungan FAS memahami tindakan tersebut sambil menyifatkan tindakan tersebut sebagai ‘tidak rela membiarkan status negeri Sarawak diperlekehkan’.

Beliau juga melahirkan keyakinan bahawa Sarawak United akan mampu membangkitkan bolasepak Sarawak dan mahu cerita Sarawak FA diturunkan ke Liga M3 ditutup dan harus dilupakan.

Laporan Suara Sarawak itu juga memetik Nazri sebagai mahukan fokus lebih terarah kepada pasukan baharu ini sambil menyifatkan pengambilan jurulatih akan pasti menarik kerana ianya akan dilakukan berdasarkan merit dan profesional.

Pasukan Sarawak FA telah terseingkir ke Liga M3 selepas tewas perlawanan play-off Liga Premier kepada Kuching FA.

Walaubagaimanapun, minggu lepas, Posa mengesahkan bahawa FAS akan mengambil alih Selangor United bagi memastikan nama Sarawak kekal di Liga Premier.

Pengumuman rasmi berkenaan pengambilalihan itu dijangka akan dibuat hari ini.

error: We appreciate it if you\'d share our link instead of copying our text. Thank you.
Scroll to Top