Isu tungakkan gaji pemain dan pegawai kini kembali mendapat perhatian peminat bola sepak Sarawak dengan pasukan Sarawak United dilaporkan telah diberi kata dua oleh peguam yang mewakili dua pemain kelab tersebut.
Mengikut laporan BH Sukan, jika Sarawak United gagal menyelesaikan masalah gaji dan insurans pemain sebelum Jumaat ini, kes tersebut mungkin akan diheret ke Persekutuan Bolasepak Dunia (FIFA).
Lebih merumitkan adalah jika masalah tunggakan gaji ini terus berlarutan, ianya akan menggangu peluang Sarawak United beraksi di Liga Super musim hadapan.
Ini adalah kerana mengikut syarat penyertaan Liga Malaysia, pasukan Sarawak United, seperti kelab – kelab bola sepak lain, perlu menghantar dokumentasi dan laporan kewangannya kepada First Instance Body (FIB) Pelesenan Kelab bagi tujuan penilaian.
Penilaian FIB Pelesenan Kelab akan membolehkan status kewangan mereka diketahui dan lesen bola sepak dikeluarkan.
Oleh itu, jika Sarawak United mempunyai masalah tungakkan gaji ketika dokumen tersebut dihantar, hadir kemungkinan mereka mungkin tidak diberi lesen dan terpaksa menarik diri dari Liga Malaysia.
Lesen kelab bola sepak adalah satu syarat utama untuk bermain di Liga Malaysia.
// DAPATKAN FACE MASK SARAWAK UNITED FC
The Cats ganti Sarawak United?
Jika hal ini berlaku, Malaysia Football League (MFL) mungkin akan mengambil langkah memberi slot Sarawak United kepada pasukan ketiga terbaik di Liga Premier, dan ianya merupakan pasukan Kuching City.
Biarpun The Cats menghabiskan musim ini di kedudukan ke-5, kelab yang bertapak di Kuching itu merupakan kelab bola sepak ketiga tertinggi kedudukannya di dalam liga di antara lapan pasukan Liga Premier yang layak untuk naik ke Liga Super musim hadapan.
Oleh itu, MFL mungkin akan mengambil keputusan menggantikan Sarawak United dengan Kuching City sekiranya Sarawak United kehilangan lesen bola sepak mereka, bagi mengekalkan bilangan pasukan di dalam Liga Super
Sungguhpun prospek pasukan Kuching City ke Liga Super ada, peminat kelab tersebut berharap Kuching City tidak akan ke liga bola sepak tertinggi Malaysia itu dahulu.
Seorang peminat tegar Kuching City yang dikenali sebagai Din berkata, adalah lebih baik Kuching City memperkuatkan pasukan baik dari segi kualiti dan kewangan di Liga Premier dahulu sebelum ke Liga Super.
Beliau yang kami hubungi berkata bahawa Kuching City tidak perlu terburu – buru ke Liga Super kerana peminat kelab tersebut faham situasi kelab tersebut dan sanggup menyokong kelab tersebut biarpun mereka bermain di Liga Premier.
// DAPATKAN FACE MASK KUCHING CITY FC
Spekulasi semata – mata
Apapun, semua perkiraan ini hanya spekulasi buat masa ini dan pihak kami pasti Sarawak United akan berupaya menyelesaikan masalah pembayaran gaji seperti yang diminta oleh peguam yang mewakili dua pemain kelab tersebut.
Oleh itu, peminat Sarawak United tidak perlu gusar akan kedudukan kelab tersebut di Liga Super.