Kerjasama TVS dengan Sarawak United yang diwar – warkan kelmarin mendapat perhatian meluas peminat bola sepak Sarawak.
Ramai yang menjangkakan bahawa TVS, yang merupakan stesen televisyen dari Sarawak, yang dimiliki GLC Sarawak Media Group, bakal menyiarkan perlawanan melibatkan Sarawak United secara langsung di saluran berkenaan.
Sungguhpun demikian, satu kenyataan yang diterbitkan di laman sosial Sarawak United hari ini tidak mendedahkan perkara tersebut.
Sebaliknya, kenyataan tersebut, yang memetik diri mereka sebagai ‘pengendali Sarawak United’ menyebut bahawa mereka akan bekerjasama dalam satu segmen bersama yag akan ditayangkan secara esklusif.
“Kami selaku pengendali pasukan Sarawak United FC amat teruja untuk mengumumkan kerjasama kami bersama TVS yang dilihat sebagai sebuah platform media tempatan Sarawak yang sedang meningkat naik ketika ini.” kata kenyataan tersebut.
“Diharapkan perkongsian dalam segmen bersama TVS membolehkan tayangan disiarkan secara ekslusif, berinformatif, tulen dan bersifat mesra mengenai Sarawak United FC di layar kaca TV tempatan”. jelas kenyataan itu lagi.
‘Pengendali Sarawak United’ dalam pada itu berharap bahawa kerjasama itu akan menjadi satu batu loncatan kepada Sarawak United untuk berinteraksi dengan peminat.
Kenyataan sama juga menyatakan bahawa Sarawak United dan TVS akan mempersembahkan kandungan rancangan yang berbeza untuk tatapan peminat dan akan mempergunakan kepakaran media TVS dalam menyerlahkan keunikan Sarawak United kepada peminat bola sepak.
“Bermatlamatkan hala tuju yang seiring dan bersama, Sarawak United FC dan TVS bakal mempersembahkan kandungan rancangan yang pastinya lain daripada yang lain untuk tontonan peminatny.” jelas pengendali Sarawak United dalam kenyataan tersebut lagi.
“Menerusi kerjasama ini, kami di Sarawak United FC akan memanfaatkan kepakaran media dan teraju ekosistem TVS dalam usaha menyerlahkan keunikan Sarawak United kepada peminat bolasepak dimanapun berada.” kata kenyataan itu lagi.
Anda boleh membaca kenyataan penuh oleh ‘Pengendali Sarawak United’ di bawah.