Laman SSBisak hari ini mendedahkan bahawa rangkaian televisyen tempatan, TVS, telah menjalinkan kerjasama dengan pasukan Sarawak United FC.

Menurut laman tersebut, kerjasama itu termetrai melalui satu perjanjian yang baharu sahaja ditandatangani.

Maklumat dan intipati hubungan tersebut tidak diketahui buat masa ini, namun laman yang sering mengemaskini berkenaan bola sepak Sarawak itu menyatakan bahawa pihak peguam Sarawak United, Haizul Azmi, teruja dengan dengan kerjasama bersama stesen TV yang dimiliki Sarawak Media group itu.

Sarawak United kini telah menambah bilangan penaja yang menaja pasukan tersebut dan kini boleh dianggap antara pasukan paling stabil dari segi kedudukan liga di dalam Liga Premier.

Kemasukan TVS mungkin akan menyaksikan perlawanan Liga Premier melibatkan Sarawak United disiarkan melalui rangkaian TV berkenaan, namun ini hanyalah spekulasi buat masa ini.

Untuk berbuat demikian, TVS perlu membeli hak penyiaran Liga Premier, yang dikhabarkan kini dimiliki MyCujoo.

Apapun, kerjasama TVS dan Sarawak United dilihat akan menaikkan lagi profil kelap berstatus profesional itu di mata peminat bola sepak Sarawak.

Semoga kerjasama ini akan membawa keuntungan kedua – dua pihak.