Hasrat peminat bola sepak Sarawak United FC melihat perlawanan bola sepak melibatkan pasukan mereka secara langsung di TVS belum akan menjadi satu kenyataan apabila Ketua Pegawai Eksekutif TVS, Suhaimi Sulaiman berkata ianya tidak akan berlaku buat masa ini.

Menurut kenyataan rasmi TVS, siaran langsung memerlukan hak penyiaran, dan stesen TV berkenaan tidak memiliki hak tersebut.

Sungguhpun demikian, TVS akan menjadi media rasmi Sarawak United dan akan membawakan kandungan yang segar berkenaan perkembangan kelab tersebut yang melibatkan kelab, rutin harian para pemain dan perkembangan pasukan.

“Kerjasama ini menguntungkan kedua-dua belah pihak. TVS berbesar hati untuk menghasilkan kandungan bersama Sarawak United FC untuk dinikmati oleh para peminat bola sepak,” kata Suhaimi Sulaiman selaku Ketua Pegawai Eksekutif TVS dalam kenyataan yang dikeluarkan TVS.

TVS boleh ditonton secara percuma melalui Saluran 122 Astro dan MYTV, dan ianya merupakan stesen TV pertama milik kerajaan Sarawak melalui Sarawak Media Group.