Tahniah kepada pasukan B18 Sarawak kerana layak ke perlawanan akhir Kejohanan Bolasepak MSSM di Pulau Pinang. Mereka akan menentang pasukan B18 Johor Darul Ta’zim.
Ketika pasukan professional seperti Sarawak FA menjadi bahan jenaka akibat kekalahan memalukan di Challenge Cup, pasukan remaja negeri membuktikan bahawa masih ada bakat muda yang dilahirkan negeri Sarawak.
Namun persoalan disini apakah nasib semua pemain B18 selepas ini.
Adakah mereka akan diserap kedalam skuad Piala Presiden atau dibiarkan sahaja bakat mereka oleh FAS.
Maklum bahawa pengurusan FAS kini seolah-olah kurang arif dalam pentadbiran bola sepak.
Pemain-pemain ini harus dikekalkan dan diberi pendedahan di peringkat domestik mahupun luar negara.
FAS harus mempunyai perancangan yang baik untuk memastikan kelansungan mereka ke pasukan lebih professional atau ke pasukan Sarawak FA.
Melihat kepada lawan di final nanti, pasukan B18 Johor Darul Ta’zim adalah sebuah skuad Akademi JDT-Valencia CF. Mereka sudah mempunyai perancangan kepada pemain mereka. Anak-anak muda yang dilihat berpotensi akan dihantar menjalani latihan di kelab Valencia.
Secara langsung ia dapat meningkatkan kualiti pelapis skuad utama JDT pada masa akan datang dan pemain ini juga akan menjual diri mereka untuk memikat pencari bakat di Eropah. Inilah perkara sebenar dalam bola sepak.
Pepatah melayu ada mengatakan melentur buluh biar dari rebungnya. Maka pemain-pemain inilah rebungnya.
Sudah lama anak Sarawak tidak dipanggil mewakili pasukan kebangsaan. Jika digilap dengan baik dalam tempoh 3 tahun mereka ini akan mewarnai arena bola sepak tempatan dan negara.
Oleh itu FAS, silalah lebih proaktif dalam memastikan prospek ini tidak disambar oleh pasukan lain yang pastinya memerhatikan bakat-bakat muda ini.
Saranan kami ini adalah selaras dengan gerakan #BubarSarawakFA, yang mana FAS perlu fokus kepada membangunkan anak muda dan tidak sibuk menguruskan pasukan bolasepak professional.
Sekali lagi, cuba anda bayangkan jika dana RM15 juta FAS digunakan untuk menghantar pemain-pemain muda ini untuk berguru di luar negara! Bah, #BubarSarawakFA – SARAWAKCROCS.COM/JJ